PIRCU’25: UnIPSAS Pacu Budaya Inovasi Demi Masa Depan Pahang

Pertandingan Inovasi & Reka Cipta UnIPSAS (PIRCU’25) muncul sebagai salah satu platform penting yang menyokong aspirasi Negeri Pahang dalam memperkukuh budaya inovasi serta daya cipta dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, pertandingan anjuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ini menjadi bukti komitmen universiti dalam memperkasa penyelidikan dan penghasilan ilmu baharu.
“Penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat pensyarah, staf sokongan dan pelajar membuktikan bahawa inovasi bukan hanya milik golongan tertentu. Ia adalah tanggungjawab bersama untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan PIRCU’25 di Dewan UnIPSAS.
YB. Dato’ Mohamad Nizar menegaskan bahawa pertandingan inovasi seperti PIRCU’25 wajar dilihat lebih luas daripada sekadar acara tahunan. Ia merupakan wadah strategik untuk mencetuskan idea baharu, solusi kreatif dan produk inovatif yang boleh dikembangkan bagi memenuhi keperluan masyarakat.
“Inovasi tidak semestinya terbatas kepada ciptaan baharu. Ia juga melibatkan keupayaan menyelesaikan masalah dengan lebih efektif, menambah baik proses sedia ada, serta memberi nilai tambah dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa inovasi berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan khazanah tradisi dengan arus kemodenan. Pendekatan ini mampu meningkatkan daya saing Pahang, bukan sahaja di peringkat nasional malah ke persada antarabangsa.
PIRCU’25 juga diyakini mampu memperkukuh reputasi UnIPSAS sebagai pusat kecemerlangan ilmu. Lebih penting, hasil inovasi yang dipamerkan berpotensi memberi impak besar dalam pelbagai bidang pendidikan, kesihatan, teknologi mahupun ekonomi.
Sebahagian inovasi yang dihasilkan berpotensi dikembangkan menjadi produk komersial atau inisiatif komuniti berimpak tinggi, sekali gus membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Pahang.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Naib Canselor UnIPSAS, YH. Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memperluas budaya inovasi di universiti tersebut.
Apa Reaksi Anda?






