Rogol pembantu rumah: Paul Yong ke Penjara Kajang serta-merta

Oleh : BARD
Oktober 1, 2025 - 16:00 MYT
Rogol pembantu rumah: Paul Yong ke Penjara Kajang serta-merta

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diperintah menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu, berhubung kesalahan merogol pembantu rumahnya, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Paul, 55, untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara termasuk sebatan.

Selepas mendengar keputusan itu, Paul yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul.

Isteri dan anak-anaknya juga kelihatan sedih dengan keputusan berkenaan kemudian memegang tangan Paul sebelum dibawa ke penjara serta-merta.

Dalam prosiding hari ini, Paul diwakili peguam, Datuk Rajpal Singh, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir sementara pendakwaan selaku responden dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz.

Paul didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 23 Ogos 2019 atas satu pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumah tertuduh, di daerah tersebut antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daerah sama.

Perbicaraan bermula 5 April 2021 dengan 23 individu termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Paul diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember tahun sama.

Pada 27 Julai 2022, Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati bekas Exco Kerajaan Negeri Perak terbabit bersalah dan dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.

Pada 1 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan sabitan bersalah dan dua sebatan terhadapnya.

Bagaimanapun mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun.

Tidak berpuas hati dengan keputusan panel hakim, ahli politik berkenaan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan empat hari kemudian iaitu pada 5 Mac.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow