Kebocoran paip gas: Anak Pahang terima bantuan awal Kerajaan Negeri
Kerajaan Pahang menyerahkan sumbangan awal kepada seorang daripada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor yang merupakan anak kelahiran negeri ini bagi meringankan beban dihadapi.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu diserahkan kepada Zurina Mohd Isa, 49, oleh pegawai Sekretariat Perantau Anak Pahang Syed Anas Syed Ali ketika melawatnya di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights pada Khamis.
"Semoga Puan Zurina dan keluarga yang berasal dari Jengka 8 terus tabah menghadapi dugaan dan ujian ini lebih-lebih lagi kejadian berlaku ketika kita sedang menyambut perayaan Aidilfitri.
"Inilah antara objektif utama kerajaan Pahang menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang agar kerajaan negeri dapat membantu dan menyantuni anak-anak Pahang di perantauan supaya mereka tidak berasa tersisih dan sentiasa diberi perhatian terutamanya jika dilanda musibah,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik menerusi Facebooknya malam tadi.
Insiden kebakaran besar pada jam 8.10 pagi Selasa itu menyaksikan api menjulang tinggi dan menghasilkan bahang panas serta debu yang memusnahkan deretan kediaman selain harta benda termasuk lebih 300 kenderaan.
Apa Reaksi Anda?











