Dari Kampung ke Geopark: Tanjung Lipis Kini Tarikan Baharu Pahang

Oleh : BARD
Oktober 17, 2025 - 11:00 MYT
Dari Kampung ke Geopark: Tanjung Lipis Kini Tarikan Baharu Pahang

Tapak Geopark Kampung Tanjung Lipis semakin menyerlah sebagai destinasi pelancongan komuniti baharu di Pahang apabila dibangunkan melalui Projek Komuniti Kampung Tanjung Lipis. Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa penduduk setempat, malah berpotensi menjadi daya tarikan utama berasaskan keindahan alam semula jadi.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha komuniti tersebut wajar dijadikan contoh kerana berjaya menghidupkan semangat kerjasama serta memperkenalkan aktiviti berimpak positif kepada penduduk kampung.

“Saya ucap tahniah kepada komuniti Tanjung Lipis. Tempat ini unik dan tidak ada di tempat lain. Ia bukan sahaja lokasi riadah, malah mengeratkan hubungan silaturrahim dan menyemarakkan aktiviti kampung. Inilah yang digalakkan oleh kerajaan,” katanya ketika melakukan lawatan ke Projek Komuniti Kampung Tanjung Lipis sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Cheka 2025, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad serta ketua-ketua jabatan.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa menyokong projek komuniti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras dengan dasar pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat.

“Selagi ia memberi manfaat kepada rakyat, kerajaan negeri dan persekutuan akan terus membantu,” tegasnya.

Sebagai tanda sokongan, YAB Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Persatuan Anak Tanjung Lipis bagi melaksanakan program pembangunan komuniti dan sosial di kawasan berkenaan.

Selain itu, beliau turut meluangkan masa menyantuni warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lipis, Jalan Tok Kaya Sentul, dalam siri jelajah yang sama  menzahirkan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow