Data dan Angka Teras Pentadbiran: Pahang Teguh Rancang Dasar Berasaskan Fakta
Penggunaan data dan angka menjadi nadi utama kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan setiap dasar dan keputusan dibuat secara berasaskan fakta, bukannya andaian.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa data memainkan peranan besar dalam semua aspek perancangan, termasuk penyediaan Belanjawan Negeri, dasar sosial serta hala tuju pembangunan rakyat.
“Angka dan data ini amat penting bukan sahaja untuk individu, tetapi lebih-lebih lagi kepada kerajaan bagi membantu membuat keputusan tepat. Contohnya, dalam penyediaan bajet negeri hujung tahun ini, kita bercadang memberi bantuan urusan perkebumian maka data diperlukan untuk menentukan jumlah penerima serta kadar bantuan yang sesuai,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Terbuka Laman Sejahtera, Sungai Koyan, semalam. Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Bagi memperkukuh pentadbiran berasaskan fakta, Dato’ Sri Wan Rosdy memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengagihkan buku data komprehensif kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjelang akhir November ini, selepas kemas kini statistik negeri diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM).
“Apabila ADUN memiliki data yang sahih, mereka tidak lagi bergantung kepada khabar angin. Mereka boleh melihat sendiri kadar kemiskinan, jumlah penduduk, bilangan keluarga B40, kadar pengangguran dan tahap pendidikan rakyat di kawasan masing-masing,” jelas beliau.
Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri juga menyasarkan penambahan daerah bahagia di Pahang daripada dua kepada empat daerah.
Ketika ini, Raub dan Lipis telah dikenal pasti sebagai daerah bahagia, dan Dato’ Sri Wan Rosdy menyeru semua daerah lain agar berusaha mencapai pengiktirafan sama.
“Saya mahu setiap pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan berusaha menambah daerah bahagia tanpa mengabaikan Raub dan Lipis. Matlamat kita ialah mewujudkan lebih banyak kawasan yang sejahtera dan harmoni,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa Hari Statistik Negara (HSN) 2025 bertujuan mendidik masyarakat luar bandar tentang kepentingan data dan statistik dalam perancangan kemudahan awam seperti kesihatan, pendidikan dan peluang pekerjaan.
“Statistik bukan sekadar angka, tetapi asas kepada keputusan dasar dan pembangunan mampan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia kini berada di tangga pertama dunia dari segi kewujudan, keterbukaan dan kebolehcapaian data rasmi, hasil pelaksanaan inisiatif digital seperti OpenDOSM dan pelbagai platform interaktif jabatan tersebut.
Antara inovasi terkini DOSM ialah Kalkulator Jangka Hayat dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) merupkan alat yang membolehkan pengguna menilai kos sara hidup berdasarkan umur, lokasi dan profil keluarga mereka.
Langkah proaktif kerajaan negeri memperkukuh pentadbiran berasaskan data menunjukkan komitmen tinggi Pahang untuk mengekalkan kecekapan, ketelusan dan kesejahteraan rakyat yang sejajar dengan aspirasi Negeri Makmur, Rakyat Sejahtera.
Apa Reaksi Anda?











