Maahad Tahfiz Turath Pahang Catat Sejarah: GPS 0.60, Antara Terbaik Kebangsaan
Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang mencipta kejayaan luar biasa apabila merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 dalam keputusan SPM 2025, sekali gus menjadi pencapaian terbaik dalam sejarah penubuhannya.
Daripada 48 calon, 40 pelajar berjaya memperoleh semua A, menjadikan sekolah itu antara institusi terbaik peringkat kebangsaan untuk tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa Saari, berkata kejayaan sulung itu lahir daripada usaha gigih para pelajar, komitmen tenaga pengajar serta sokongan padu kerajaan negeri.
“GPS 0.60 adalah rekod tertinggi Maahad Tahfiz Turath. Kejayaan ini turut dipacu kecemerlangan pelajar perempuan yang mendominasi keputusan A dan A+,” katanya pada majlis pengumuman keputusan SPM di Dewan Mahkota, semalam.
Selain itu, Maahad Tahfiz Negeri Pahang turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila meningkatkan GPS kepada 1.06, berbanding 1.15 pada tahun 2024.
Abd Razak menyifatkan kejayaan dua institusi tahfiz ini sebagai bukti keberkesanan sokongan Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, YAB Dato' Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
“Kami amat menghargai bantuan berterusan daripada YAB Menteri Besar, barisan Exco serta seluruh pentadbiran negeri. Sokongan mereka menjadi pemangkin kecemerlangan kedua-dua maahad,” ujarnya.
Mengulas usaha mengekalkan kecemerlangan itu, Abd Razak mengakui cabaran semakin besar namun optimis dengan kekuatan tenaga pengajar dan sokongan pengurusan.
“Dengan ‘tulang belakang’ yang ada, kami yakin mampu mengekalkan prestasi SPM pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Yayasan Pahang akan terus memantau hala tuju pendidikan pelajar sehingga mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing. Pelbagai peluang tajaan pembelajaran disediakan, termasuk:
Tajaan Yayasan Pahang
Permohonan biasiswa MARA
Peluang penajaan PETRONAS
Biasiswa berprestij universiti dalam dan luar negara
“Kami mahu memastikan pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath terus menjejak kejayaan hingga ke universiti terbaik. Kami akan menyokong mereka bukan setakat SPM, tetapi sepanjang perjalanan mereka,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











