IPD Raub mantapkan taktikal ‘off-road’ demi tugasan lapangan

Oleh : BARD
Oktober 19, 2025 - 10:10 MYT
IPD Raub mantapkan taktikal ‘off-road’ demi tugasan lapangan

Seramai 28 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub menyertai Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Pengendalian Kenderaan Pacuan Empat Roda (4X4) bagi meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan menghadapi tugasan di laluan mencabar.

Latihan selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Oktober itu diadakan di Hutan Simpan Hulu Sempam, melibatkan tujuh kenderaan 4X4 terdiri daripada Land Rover, Toyota Hilux dan GS Cargo.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, latihan tersebut amat signifikan dengan tugasan hakiki pasukan memandangkan kawasan pentadbiran IPD Raub meliputi banyak lokasi pedalaman dan berbukit.

“Keupayaan mengendalikan kenderaan pacuan empat roda amat penting bagi memastikan kelancaran operasi di lapangan, termasuk pengawasan, rondaan, operasi banjir, bantuan bencana dan misi kesihatan di kawasan berisiko tinggi,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, latihan itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pemanduan ‘off-road’ yang betul, selamat dan berkesan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia membantu membina keyakinan diri ketika mengendalikan kenderaan dalam pelbagai bentuk permukaan jalan, khususnya ketika berdepan situasi mencabar atau berisiko tinggi,” katanya.

Mohd Shahril yang turut serta dalam latihan berkenaan berkata, program itu turut membina semangat kerja berpasukan serta meningkatkan keupayaan taktikal anggota.

“Latihan ini juga memupuk nilai tanggungjawab, disiplin, kepercayaan dan saling tolong-menolong antara peserta satu elemen penting dalam tugasan lapangan polis,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, keseluruhan latihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Alhamdulillah, latihan selesai dengan jayanya dan memberi impak positif terhadap kesiapsiagaan pasukan IPD Raub,” katanya.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow