Program Sentuhan Rakyat Makmur: Suara Rakyat Didengar, Komitmen Kerajaan Negeri Terserlah

Oleh : BARD
Ogos 22, 2025 - 12:00 MYT
Program Sentuhan Rakyat Makmur: Suara Rakyat Didengar, Komitmen Kerajaan Negeri Terserlah

Program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang (PSRM) terus mendapat sambutan positif apabila ia berjaya menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan rakyat. Program ini bukan sahaja memberi peluang masyarakat berinteraksi secara langsung dengan pemimpin, malah membuka ruang kepada rakyat untuk meluahkan masalah, mendapatkan penjelasan, dan mengemukakan cadangan demi kemajuan negeri.

Bagi Encik Haji Adnan Haji Hassan, 71, dari Kampung Desa Kayangan, Brinchang, inisiatif sebegini amat berharga kerana rakyat berpeluang menyampaikan permasalahan secara terus kepada barisan kepimpinan negeri.

“Ini langkah yang baik kerana kita boleh berjumpa dengan pemimpin-pemimpin dalam Negeri Pahang ini. Rakyat boleh mengetahui bagaimana cara mendapatkan maklumat berkaitan agensi kerajaan. Saya rasa program ini wajar diteruskan sekurang-kurangnya dua tahun sekali kerana ia memberi ruang jangka panjang untuk menyuarakan masalah setempat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Encik Abdul Rahman Azid, 43, turut menyifatkan program itu sebagai wadah penting untuk menyelesaikan keluhan masyarakat yang sebelum ini terpendam.

“Program ini sangat membantu, kerana kami dapat meluahkan perkara yang sebelum ini tidak sempat dikongsikan di peringkat daerah. Kehadiran YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, membolehkan kami mendapat jawapan jelas dan tepat mengenai isu yang dibangkitkan,” ujarnya.

Sementara itu, Encik Bahgenut Bahumas, 61, dari Kampung Orang Asli Sungai Ubi, menegaskan penganjuran PSRM amat bermakna, terutama dalam menyelesaikan masalah masyarakat luar bandar dan Orang Asli.

“Alhamdulillah, program ini membantu kerajaan negeri meneliti keadaan sebenar masyarakat di Cameron Highlands. Ia membuktikan kerajaan serius dalam mendengar keluhan rakyat. Saya berharap ia dapat diteruskan dari semasa ke semasa supaya masyarakat tidak rasa terpinggir,” katanya.

Program PSRM di Cameron Highlands ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh utama negeri, antaranya YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin; serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.

Kira-kira 700 orang hadir pada sesi Townhall yang berlangsung di Dewan Puncak Arabella, Cameron Highlands. Kehadiran ini jelas membuktikan komitmen tinggi rakyat untuk bersama-sama membangunkan negeri melalui saluran komunikasi dua hala yang lebih telus.

Penganjuran PSRM ini sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st, yang menekankan prinsip Rakyat Diutamakan dalam setiap dasar dan pembangunan negeri.

Melalui program ini, isu-isu berkaitan pembangunan infrastruktur, perkhidmatan kerajaan, kemudahan asas, kesejahteraan masyarakat Orang Asli, serta kelestarian alam sekitar dapat disampaikan terus kepada pihak berautoriti untuk tindakan susulan.

Kerajaan Negeri Pahang dilihat konsisten dalam mendengar suara rakyat dan memastikan setiap lapisan masyarakat tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan.

PSRM menjadi bukti nyata bahawa Aspirasi Pahang 1st bukan sekadar slogan, sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat di lapangan.

Melalui platform seperti ini, kerajaan negeri dapat melihat sendiri cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat, seterusnya merangka tindakan yang lebih berkesan. Rakyat pula semakin yakin bahawa kepimpinan negeri benar-benar mendahulukan kepentingan mereka dalam setiap keputusan.

Inisiatif sebegini membuktikan bahawa Pahang sedang bergerak ke arah negeri maju dan inklusif, di mana rakyat bukan sekadar penerima dasar, tetapi juga rakan strategik dalam menjayakan pembangunan negeri.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow