KDPB Sultan Pahang zahir penghargaan usaha kerajaan negeri, upnp banteras pencerobohan haram
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan penghargaan atas usaha Kerajaan Negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membanteras pencerobohan haram.
Ini termasuklah dengan mengambil tindakan tegas di lapangan, membuat tangkapan, memotong tanaman haram serta menutup lombong-lombong yang dibuka tanpa kebenaran.
Seiring keputusan kerajaan negeri, Paduka Baginda menegaskan bahawa tiada kelulusan baharu akan diberikan terhadap mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.
“Ini adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi; demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat,” titah Paduka Baginda ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Paduka Baginda turut bertitah agar kemelut pencerobohan tanah kerajaan dan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang telah berlarutan sejak lebih empat dekad lalu dihentikan serta-merta demi memelihara kedaulatan negeri dan keadilan kepada rakyat.
Paduka Baginda betitah tindakan sedemikian adalah perompakan terbuka terhadap harta negeri yang tidak boleh dibiarkan berterusan.
“Masalah ini bukan baru bermula semalam. Ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lalu, ianya berlaku tanpa pengetahuan Beta. Namun, bukan niat Beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan.
“Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram ini,” titah Paduka Baginda lagi.
Apa Reaksi Anda?











