Syarat kesihatan baharu haji 2026 uji kesabaran bakal jemaah warga emas
Pengumuman oleh kerajaan Arab Saudi yang menetapkan syarat kesihatan baharu bagi musim haji 1447H/2026M menandakan satu perubahan signifikan dalam pengurusan jemaah haji global, khususnya dari aspek kesihatan awam dan pengurusan risiko.
Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), hanya individu yang bebas daripada penyakit berjangkit atau penyakit kronik tidak terkawal, dan mampu melaksanakan ibadah haji secara kendiri akan layak memohon visa haji.
Untuk musim Haji 2026 ada beberapa perubahan besar dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi antaranya tiada lagi pusat rawatan akan dibuka di Tanah Suci yang mana jemaah haji yang sakit akan dirujuk ke hospital tempatan di negara itu.
Selain itu, bilangan petugas kesihatan akan dikurangkan malah tiada lagi Safari Wukuf untuk pesakit yang uzur yang mana pesakit yang masuk wad tidak berpeluang untuk melaksanakan wukuf sekali gus menjejaskan rukun haji.
Antara penyakit yang automatik tidak layak menunaikan ibadah haji adalah kegagalah buah pinggang kronik, penyakit jantung serius, penyakit paru-paru dan hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif dan warga emas dementia atau fizikal lemah.
Mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah menjadi impian umat Islam dan hukum menunaikan rukun Islam ke lima itu adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
Kuota jemaah haji Malaysia musim depan dijangka kekal sebanyak 31,600 orang.
Syarat baharu itu merupakan satu langkah yang memberi kesan langsung kepada proses pemilihan, pemeriksaan kesihatan dan kelayakan bakal jemaah negara.
Ibadah itu bukan sahaja mengenai konsep ‘kesihatan rohani’ semata-mata, namun turut melibatkan kesihatan fizikal, seseorang jemaah perlu menempuh jarak perjalanan jauh.
Waktu-waktu yang memerlukan kecergasan fizikal semasa ibadah haji adalah tawaf dengan jumlah jarak minimum 200 meter setiap pusingan, sa'ie sejauh 2.761 kilometer dan melontar jamrah yang memerlukan kekuatan fizikal, lebih-lebih lagi dalam keadaan jutaan umat Islam yang berkumpul di situ.
Istito’ah dalam aspek kesihatan juga membantu jemaah segera menyesuaikan diri dengan cuaca ekstrem dan perjalanan panjang. Antara masalah kesihatan sering dihadapi jemaah ialah batuk dan demam berikutan cuaca melampau yang mencecah 50 darjah celsius berbanding Malaysia sekitar 32 darjah celcius.
Justeru, adalah sangat penting bagi semua bakal jemaah membuat persiapan diri dari semua aspek termasuk penjagaan kesihatan. Namun, ia cabaran besar buat bakal jemaah warga emas.
Ia juga menimbulkan kebimbangan dan kekecewaan dalam kalangan mereka yang sudah menunggu giliran bertahun-tahun terutama warga emas yang menabung bertahun-tahun namun terhalang atas faktor kesihatan.
Bagaimanapun, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-84 yang bersidang pada 15 Disember 2008 telah memutuskan bahawa pesakit yang menghidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji.
Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji (upah haji) jika berkemampuan daripada sudut kewangan dan sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan.
Islam secara prinsipnya tidak memberatkan umatnya terhadap sesuatu perkara melainkan sekadar yang termampu. Demikian juga, kewajipan menunaikan haji yang terikat dengan syarat-syarat yang khusus, salah satu daripadanya ialah berkemampuan untuk menunaikannya.
Kebanyakan ulama berpandangan bahawa mereka yang menghadapi penyakit kronik dan terikat kepada rawatan tidak wajib menunaikan haji kerana situasi mereka dianggap sebagai darurat.
Apa Reaksi Anda?











