Pahang Bukti Cekap Urus Kewangan, Antara Empat Negeri Dapat Sijil Audit Tanpa Teguran

Nampaknya, Pahang terus menunjukkan contoh terbaik dalam soal pengurusan kewangan kerajaan negeri. Dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang baru dibentangkan di Dewan Rakyat, negeri ini tersenarai antara empat negeri terbaik yang menerima Sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) bagi Penyata Kewangan Tahun 2024.
Menurut Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, hanya tiga lagi negeri yang berada pada tahap sama dengan Pahang iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu. Ini bermaksud, kempat-empat negeri ini mempunyai rekod kewangan yang bersih, teratur dan bebas daripada sebarang teguran audit utama.
Empat negeri (Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu) menerima Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion).
Sembilan negeri lain, termasuk Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor, menerima Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain (Other Matters) masih baik, tapi ada beberapa isu yang diperhatikan auditor.
Laporan Ketua Audit Negara kali ini mengandungi 14 naskhah keseluruhan, termasuk satu di peringkat Persekutuan yang menilai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dan aktiviti kementerian serta agensi kerajaan pusat, manakala 13 lagi di peringkat negeri.
Apa yang menarik, pencapaian ini mengukuhkan lagi reputasi Pahang sebagai negeri yang berdisiplin dalam pengurusan kewangan awam. Dalam suasana ekonomi yang mencabar, kemampuan kerajaan negeri mengekalkan tahap integriti dan ketelusan sebegini bukan perkara kecil kerana ia hasil perancangan rapi dan pengurusan yang telus.
Secara tidak langsung, kejayaan ini juga memberi isyarat bahawa pentadbiran negeri berfungsi dengan baik dan efisien, memastikan setiap ringgit wang rakyat dibelanjakan dengan berhemah.
Dari sudut politik pula, pencapaian ini pasti memberi nilai tambah besar kepada kepimpinan YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar. Dalam keadaan banyak negeri lain berdepan cabaran audit atau teguran kewangan, kemampuan Pahang mengekalkan rekod bersih ini boleh dianggap sebagai manifestasi tadbir urus yang matang dan stabil. Ia bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi cerminan bahawa kerajaan negeri benar-benar tahu mengurus negeri dengan baik dan bukan sekadar berpolitik.
Apa Reaksi Anda?






