Muhyiddin Terdesak: Rayuan Ditolak, Kes Rasuah dan AMLA Terus Bayangi Bersatu

Nampaknya episod getir buat Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum berakhir. Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bekas Perdana Menteri itu untuk menggugurkan tujuh pertuduhan dalam empat kes rasuah melibatkan RM232.5 juta dan tiga lagi kes pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta.
Keputusan itu memberi tamparan besar kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini dilihat semakin terhimpit dengan pelbagai tekanan politik dan undang-undang.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa AGC telah menolak permohonan pembelaan yang difailkan pada 19 Ogos lalu dan keputusan dimaklumkan kepada Muhyiddin pada 22 Ogos. Pendakwaan turut mencadangkan supaya semua kes dibicarakan serentak, dengan perbicaraan dijangka bermula seawal Januari 2026.
Namun, pasukan pembelaan diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon tarikh ditunda ke Mei atau Jun, dipercayai bagi memberi lebih ruang kepada pihak pembelaan menyusun strategi. Hakim K. Muniandy menetapkan 10 November depan bagi pengurusan kes seterusnya, selain membenarkan permohonan supaya Muhyiddin dikecualikan hadir pada sebutan berikut.
Pertuduhan terhadap Muhyiddin bukan kecil kerana beliau didakwa menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 hingga Ogos 2021 untuk mendapatkan suapan RM232.5 juta daripada beberapa individu dan syarikat termasuk Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd.
Beliau juga berdepan dakwaan menerima RM200 juta hasil aktiviti haram yang dimasukkan ke akaun Bersatu antara Februari 2021 hingga Julai 2022. Jika sabit kesalahan, hukuman yang menanti boleh mencecah 20 tahun penjara dan denda berjuta ringgit.
Dalam situasi ini, imej Muhyiddin dan Bersatu semakin tercalar bukan sahaja di mata rakyat, malah dalam kalangan penyokong sendiri yang mula mempersoalkan hala tuju parti. Dengan tekanan undang-undang yang kian menghimpit dan keyakinan awam yang terus merosot, Bersatu kini tampak semakin goyah, sementara bekas Perdana Menteri itu dilihat berjuang sendirian mempertahankan maruah politiknya.
Soalnya, mampukah Muhyiddin bertahan atau ini tanda permulaan kejatuhan sebenar beliau dalam politik nasional?
Apa Reaksi Anda?






