Pemuda PAS Pahang Jangan Jadi Pakar Ekonomi Mee Segera

Pemuda PAS Pahang nampaknya sudah mula mahu jadi pakar ekonomi mee segera. Baru nampak angka hutang Kerajaan Negeri Pahang mencecah RM1.013 bilion, terus membuat persepsi jahat bagi memperlihatkan kerajaan negeri boros dan gagal urus kewangan. Malangnya, seperti biasa, mereka hanya baca angka tanpa faham konteks. inilah penyakit “politik separuh masak” yang sering menimpa PAS.
Hakikatnya, setiap kerajaan negeri mempunyai hutang sebagai alat pengurusan fiskal. Hutang digunakan untuk membiayai pembangunan, bukan untuk berfoya-foya. Tambahan pula, peningkatan hutang RM45.97 juta, atau sekitar 4.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, adalah kenaikan normal dan terkawal, bukannya tanda keborosan seperti yang cuba digambarkan.
Lebih penting, hampir semua pinjaman negeri digunakan untuk projek rakyat termasuk menaik taraf sistem bekalan air, membaiki infrastruktur banjir, membina perumahan mampu milik, dan membangunkan jalan luar bandar. Projek-projek ini memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukan kepada poket mana-mana pemimpin.
Kalau benar pengurusan kewangan negeri bermasalah, Laporan Ketua Audit Negara pasti akan menegur. Tetapi realitinya, Pahang mendapat “Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion)”, iaitu pengiktirafan tertinggi terhadap ketelusan dan kecekapan tadbir urus kewangan negeri.
Maknanya jelas pengurusan kewangan Pahang berada di landasan betul.
Berbanding itu, mari kita tengok negeri-negeri SG4 yang dibanggakan PAS. Kononnya model pentadbiran Islamik dan berintegriti, tapi hakikatnya penuh masalah asas isu air di Kelantan tak selesai, masalah sampah di Kedah berlarutan, dan kadar pelaburan asing di Terengganu merudum. Itu belum masuk isu projek terbengkalai dan akaun defisit bertahun-tahun.
Jadi sebelum Pemuda PAS Pahang cuba berlagak seperti penganalisis ekonomi di Twitter dan Facebook, baik belajar dulu beza antara hutang pembangunan dan hutang akibat salah urus. Jangan hanya pandai menulis angka untuk cipta persepsi, tapi gagal membaca fakta yang sebenar.
Realitinya, Pahang berkembang, SG4 semakin menuju kemunduran. Itulah beza antara kerajaan yang bekerja dengan kerajaan yang hanya tahu bercakap.
Apa Reaksi Anda?






