'Ayah beritahu misi kali ini sangat penting untuk rakyat Palestin'

Anak kepada pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Mohd Afandi Saleh yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza di bawah inisiatif Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG), berkongsi pesanan terakhir bapanya sebelum kapal dinaiki ditahan rejim Zionis.
Adam Afandi, 20, berkata, sebelum berangkat, bapanya sempat meninggalkan beberapa pesanan kepada keluarga termasuk menjaga ibunya dan menguruskan kenderaan sepanjang ketiadaannya.
“Dua hari sebelum berlepas, ayah berpesan supaya saya menjaga umi dan menguruskan keretanya. Sebelum berangkat, ayah sempat memeluk umi dan berpesan supaya kuat.
“Masa itu umi menangis kerana berat hati hendak melepaskannya tetapi ayah beritahu bahawa misi kali ini sangat penting untuk rakyat Palestin,” katanya ketika ditemui di UniSZA pada Khamis.
Adam yang juga pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di UniSZA berkata, kali terakhir mereka berhubung menerusi panggilan video pada malam Selasa sekitar jam 9.30 malam.
Jelasnya, kapal yang dinaiki bapanya itu diserang ketika menyertai misi kemanusiaan FFC-TMTG pada pagi Rabu waktu tempatan.
“Ayah sempat berkata, insya-ALLAH tidak ada apa-apa dan minta kami doakan semuanya selamat. Tapi masa itu memang nampak umi sudah mula sedih.
“Mesej terakhir diterima menerusi kumpulan WhatsApp keluarga sekitar jam 10.30 pagi yang berbunyi, ‘Kami mungkin diserang sekarang’, disertakan video suasana gelap di tengah laut.
“Selepas mesej itu, kami langsung tidak dapat menghubungi ayah sehingga sekarang,” ujarnya.
Adam berkata, kejadian tersebut mengingatkannya kepada pengalaman bapanya yang pernah menyertai misi kemanusiaan ke Gaza pada tahun 2018 sebagai wakil tunggal Malaysia.
“Dulu ayah pergi seorang diri, namun selamat pulang, jadi kali ini saya yakin kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk membawa mereka semua pulang dengan selamat,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau percaya usaha kerajaan Malaysia dan organisasi kemanusiaan akan membantu memastikan keselamatan kesemua sembilan wakil negara yang menyertai misi tersebut.
“Tahun ini saya rasa lebih tenang kerana ramai delegasi Malaysia ikut serta dan kerajaan juga memberi sokongan penuh. Tapi bila jadi macam ini, tetap ada rasa sayu mengenangkan ayah yang kini ditahan di sana.
“Saya percaya kerajaan akan membantu seperti mana mereka bantu misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum ini.
“Harapan saya cuma satu, semoga ayah dan rakan-rakan lain selamat pulang ke tanah air,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sembilan kapal dalam misi kemanusiaan itu telah dipintas tentera Israel pada jarak kurang 120 batu nautika dari Gaza sekitar jam 10.50 pagi Rabu waktu Malaysia.
UniSZA dalam kenyataannya memaklumkan bahawa seluruh warga universiti itu menzahirkan doa dan sokongan penuh terhadap Profesor Dr Mohd Afandi yang merupakan pensyarah di Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA).
Menurut universiti tersebut, Dr Afandi merupakan seorang ilmuwan dan pendidik yang sekian lama menunjukkan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan global.
Penyertaan beliau mencerminkan komitmen UniSZA dalam menyokong usaha global ke arah keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Apa Reaksi Anda?






