Pendapat Tanpa Teguran: Cermin Integriti, Akauntabiliti Kerajaan Negeri Pahang

Oleh : BARD
Oktober 11, 2025 - 10:00 MYT
Pendapat Tanpa Teguran: Cermin Integriti, Akauntabiliti Kerajaan Negeri Pahang

Kejayaan memperolehi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) bagi Penyata Kewangan Negeri Tahun 2024 daripada Ketua Audit Negara mencerminkan integriti dan akauntabiliti Kerajaan Negeri Pahang.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, Abdullah Zaki Fadzil berkata, pengiktirafan tersebut turut membuktikan kecekapan dan ketelusan Kerajaan Negeri Pahang yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) dalam pengurusan kewangan.

“Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi membuktikan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan kewangan apabila menerima Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) bagi Penyata Kewangan Negeri Tahun 2024 daripada Ketua Audit Negara.

“Pengiktirafan berprestij ini mencerminkan tahap integriti dan akauntabiliti tinggi dalam tadbir urus kewangan negeri, sekaligus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.

“Kejayaan ini turut mengulangi pencapaian sama yang diraih pada tahun 2023, menandakan konsistensi dan keutuhan disiplin fiskal kerajaan negeri. Ia juga selari dengan semangat Aspirasi Pahang 1st, yang menekankan prinsip ketelusan, tanggungjawab dan keberkesanan dalam setiap urusan pentadbiran,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pencapaian tersebut turut menjadi simbol kepercayaan terhadap komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam membina negeri yang makmur.

“Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri akan terus memperkukuh sistem pengurusan kewangan dengan memastikan hasil negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat. Disiplin fiskal dan pengurusan yang cekap akan terus menjadi tunjang utama dalam menjamin pembangunan negeri yang mampan.

“Pencapaian ini bukan sahaja satu penghormatan kepada kerajaan negeri, malah menjadi simbol kepercayaan terhadap komitmen Pahang dalam membina negeri yang makmur, berdaya saing dan berintegriti tinggi,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan Pahang menerima sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu menjadi pengiktirafan terhadap komitmen berterusan dalam membina Pahang yang makmur, berdaya saing dan berintegriti.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow