Suara Rakyat Cameron Highlands Didengar, PSRM Jadi Jambatan Kerajaan dan Penduduk
Bagi penduduk, pembangunan bukan sekadar projek dan angka, tetapi bagaimana masalah harian mereka didengar dan diberi perhatian.
Atas sebab itu, Program Sentuhan Makmur Rakyat (PSRM) Negeri Pahang mendapat sambutan positif penduduk Cameron Highlands apabila sesi Townhall program itu membuka ruang untuk masyarakat menyampaikan isu secara terus kepada Kerajaan Negeri.
Berlangsung di Dewan Puncak Arabella, Tanah Rata, sesi berkenaan menghimpunkan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin, bersama ketua-ketua jabatan.
Pendekatan turun padang itu membolehkan isu yang dekat dengan kehidupan penduduk diketengahkan secara bersemuka, sekali gus mewujudkan saluran komunikasi yang lebih langsung antara rakyat dan kerajaan.
Pesara, Haji Osman Sani, 79, yang menyertai PSRM buat kali kedua, menyifatkan program berkenaan sebagai satu pendekatan yang memberi manfaat kerana penduduk mempunyai ruang untuk mengemukakan masalah secara terus.
Antara isu yang dibangkitkannya ialah keadaan jalan yang sempit, terutama apabila jumlah pelancong meningkat di Cameron Highlands.
“Program ini bagus kerana penduduk boleh berkongsi masalah secara terus dengan Kerajaan Negeri. Antara masalah yang timbul ialah jalan yang sempit. Bila ramai pelancong datang, kalau dapat jalan dibesarkan, ia akan membantu,” katanya.
Menurut beliau, peluang berkomunikasi secara langsung dengan pihak kerajaan memberi keyakinan kepada penduduk bahawa isu setempat boleh terus diketengahkan kepada pihak yang berkaitan.
Beliau berharap PSRM diteruskan dan lebih ramai penduduk mengambil peluang menyertai program berkenaan.
Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Ubi, Bahnot Bahkumas, 65, turut menyertai PSRM buat kali kedua.
Beliau berkata kesinambungan program amat penting kerana penduduk bukan sahaja mahu menyampaikan masalah, malah ingin mengetahui perkembangan isu serta perkara yang sedang dirancang untuk daerah dan negeri.
“Ini perantaraan secara langsung antara penduduk Cameron Highlands dengan Kerajaan Negeri. Masalah yang belum selesai boleh terus kita utarakan untuk perhatian kerajaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang kerana meneruskan penganjuran PSRM dan berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.
PSRM memperlihatkan kepentingan komunikasi dua hala dalam pentadbiran, khususnya apabila isu setempat dibincangkan terus bersama penduduk.
Bagi Cameron Highlands, antara perkara yang menjadi perhatian masyarakat termasuk kemudahan jalan, keselesaan penduduk, keperluan pembangunan serta kesan peningkatan aktiviti pelancongan.
Melalui sesi seperti Townhall, isu berkenaan dapat dibawa terus kepada kerajaan dan jabatan berkaitan, tanpa bergantung semata-mata kepada saluran komunikasi tidak langsung.
Lebih daripada sekadar sebuah program, PSRM menjadi ruang untuk kerajaan mendengar, memahami dan memberi perhatian kepada isu yang benar-benar dirasai masyarakat di peringkat akar umbi.
Bagi penduduk Cameron Highlands, kesinambungan pendekatan ini dilihat penting supaya suara mereka terus menjadi sebahagian daripada perhatian dalam pembangunan daerah.
Apabila kerajaan turun mendengar, rakyat pula mendapat ruang untuk bersuara dan di situlah hubungan antara pentadbiran dengan masyarakat dapat diperkukuh.
Apa Reaksi Anda?











