Rukun Tetangga Terus Jadi Nadi Perpaduan, Kerajaan Negeri Pahang Komited Sokong Inisiatif
Komuniti Rukun Tetangga (KRT) kekal menjadi pemangkin utama dalam memastikan perpaduan masyarakat di Negeri Pahang terus terpelihara, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah negeri yang aman, harmoni dan sejahtera.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, menegaskan bahawa peranan KRT semakin signifikan terutama dalam era digitalisasi yang menuntut pendekatan lebih dinamik dan kreatif bagi membina komuniti progresif.
“Program yang dilaksanakan oleh KRT berfungsi sebagai Tapak Integrasi untuk menyatupadukan masyarakat, sekali gus mengukuhkan semangat kejiranan, tolong-menolong serta muhibah dalam kalangan penduduk setempat,” katanya ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2025 dan Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga di Dataran Bentong, di sini.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YB Dato’ Haslina Abd Hamid, Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen, serta barisan kepimpinan negeri dan komuniti setempat.
Menurut YB Leong, agenda perpaduan tidak mungkin dapat digerakkan tanpa dukungan penuh Kerajaan Negeri. Beliau menzahirkan penghargaan kepada pimpinan negeri yang sentiasa memberikan sokongan konkrit kepada inisiatif perpaduan rakyat.
“Sebagai contoh, pada tahun lalu YAB Menteri Besar telah meluluskan peruntukan RM500,000 bagi program silang budaya di seluruh negeri. Ini membuktikan bahawa komitmen kerajaan negeri dalam memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat bukan sekadar retorik, tetapi diterjemahkan melalui dasar dan tindakan nyata,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, etnik dan agama bukanlah kerja mudah, sebaliknya memerlukan kesungguhan berterusan daripada kerajaan pusat, negeri serta komuniti akar umbi.
Dalam ucapannya, YB Leong turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan KRT yang telah lama menyumbang masa dan tenaga demi kesejahteraan komuniti.
“Sumbangan KRT yang tidak ternilai ini telah menjadi benteng sosial sejak 50 tahun lalu. Ia membuktikan bahawa perpaduan yang kita kecapi hari ini lahir daripada pengorbanan dan usaha bersama,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, beliau menegaskan bahawa perpaduan adalah aset terpenting negara. Sejak merdeka, pelbagai dasar dan program pembangunan dilaksanakan kerajaan dengan matlamat akhir membina masyarakat bersatu padu.
“Semangat perpaduan ini mesti dipelihara secara konsisten kerana ia adalah nikmat yang tiada gantinya. Tanpa perpaduan, segala pembangunan yang kita kecapi tidak akan mampu bertahan lama,” tegasnya.
Sambutan Minggu Perpaduan kali ini berlangsung selama tiga hari dengan penglibatan 47 reruai agensi kerajaan, KRT dan usahawan tempatan yang mempamer serta menjual produk komuniti. Antara tarikan utama ialah pameran interaktif Rumah Kita yang menonjolkan kepelbagaian budaya masyarakat di Malaysia.
Program ini bukan sahaja mengukuhkan jalinan kemasyarakatan, malah menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Pahang untuk terus memacu pembangunan inklusif berlandaskan semangat Perpaduan Untuk Semua.
Apa Reaksi Anda?











