15 Projek Tebatan Banjir Diluluskan di Pahang, Kerja Lebih Awal Dari Jadual
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan 14 projek tebatan banjir di Pahang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sekali gus memperkukuh usaha jangka panjang negeri dalam mengurangkan risiko bencana.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, selepas perbincangan terkini bersama Timbalan Perdana Menteri, sebuah projek tambahan di daerah Lipis turut dipersetujui, menjadikan jumlah keseluruhan 15 projek untuk negeri ini.
Dalam sesi Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar turut memaklumkan perkembangan positif Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau di Sungai Lembing, yang kini mencapai 16.84% kemajuan, iaitu empat hari lebih awal daripada jadual asal 16.33%.
Projek reka dan bina ini bermula pada 28 November 2023 dan dijangka siap pada 27 November 2026. Fasa kajian dan reka bentuk berjalan sehingga 4 Julai 2025, manakala pembinaan penuh bermula 5 Julai 2025.
Menteri Besar turut menegaskan keperluan semua ADUN kawasan terlibat memastikan kontraktor mematuhi jadual pelaksanaan.
Beliau menambah bahawa beberapa projek terbengkalai sebelum ini berpunca daripada kelemahan kontraktor, justeru pemantauan rapi amat penting bagi memastikan rakyat menerima manfaat seperti dirancang.
Apa Reaksi Anda?











