Ceroboh tanah kerajaan tanam durian, wanita didenda RM80,000

Oleh : BARD
Jun 22, 2026 - 14:00 MYT
Ceroboh tanah kerajaan tanam durian, wanita didenda RM80,000

Seorang pengusaha kebun durian didenda RM80,000 dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku salah atas tuduhan menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran di Sungai Pertang, Mukim Gali, di sini kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Puan Noor Zaihan Mohamad Ali turut memerintahkan tertuduh,Yong Lai Kien, 48, dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, susulan Ops Sekat Musang King dijalankan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 9 Ogos 2024 lalu, wanita terbabit didapati menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.

Dalam serbuan di kawasan Sungai Pertang, Mukim Gali itu mendapati terdapat sebuah rumah kebun serta kawasan tanaman pokok durian yang diusahakan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menduduki dan menggunakan tanah berkenaan tanpa memperoleh kebenaran sah daripada pihak berkuasa negeri sebelum tindakan pendakwaan diambil.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi dan Nurul Ain Wozzari manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Harris Mohan.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dan setimpal terhadap tertuduh.

Hujahnya, perbuatan menceroboh tanah kerajaan bukan sahaja menyebabkan kerosakan besar kepada struktur tanah di kawasan terbabit malah mengakibatkan ketirisan hasil kerajaan negeri daripada kutipan hasil tanah dan permit yang sepatutnya diperoleh.

Pihak pendakwaan turut menegaskan, hukuman diperuntukkan di bawah undang-undang adalah berat sekali gus menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu pencerobohan tanah.

Kes itu dilihat sebagai antara tindakan penguatkuasaan berterusan kerajaan negeri menerusi Ops Sekat Musang King bagi membanteras kegiatan pendudukan dan penerokaan tanah kerajaan tanpa kebenaran, khususnya di daerah Raub yang sebelum ini dikenal pasti mempunyai beberapa kawasan pencerobohan tanah melibatkan aktiviti pertanian.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow