Tunggakan RM70.48 Juta: 122 Hak Milik Berjaya di Bukit Tinggi Dilucutkan Kepada Kerajaan Pahang
Sebanyak 122 hak milik tanah milik syarikat Berjaya di Bukit Tinggi, Bentong telah dilucutkan kepada Kerajaan Negeri Pahang selepas kegagalan menjelaskan tunggakan cukai tanah berjumlah RM70.48 juta.
Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 28 September 2026, melibatkan tanah yang mempunyai tunggakan cukai sejak tahun 2020.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali, berkata antara kawasan yang terlibat termasuk kuarters pekerja, dobi, Rabbit Park dan Japanese Garden.
Menurutnya, kesemua 122 hak milik berkenaan telah disita, manakala struktur kekal yang berada di atas tanah tersebut dikosongkan dan dikunci bagi menghalang sebarang aktiviti tanpa kebenaran.
“Tindakan ini dilaksanakan selepas pihak Berjaya gagal menyelesaikan tunggakan cukai tanah sebanyak RM70,481,097 yang melibatkan keseluruhan 122 hak milik,” katanya.
Beliau berkata, semua aktiviti di kawasan terbabit turut diarahkan dihentikan serta-merta. Kegagalan mematuhi arahan boleh membawa kepada tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Tindakan penguatkuasaan itu dibuat selepas notis berkaitan ditampal dan diserahkan pada 9 dan 10 September 2026 kepada pihak berkaitan.
Dalam perkembangan terdahulu, Pentadbir Tanah Bentong telah mengeluarkan perintah lucut hak terhadap 122 hak milik berkenaan, manakala pewartaan Notis 8A telah dilaksanakan pada Jun 2025.
Pihak berkuasa kemudian memasang rantai dan mangga di lokasi terlibat bagi menghalang sebarang pendudukan atau aktiviti tanpa kebenaran di atas tanah yang telah dilucutkan hak kepada Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan tersebut kini tertakluk kepada arahan penangguhan yang telah dikeluarkan oleh mahkamah.
Apa Reaksi Anda?











