Penjawat Awam Persekutuan di Pahang Bakal Terima Saguhati Khas

Oleh : BARD
September 24, 2025 - 11:00 MYT
Penjawat Awam Persekutuan di Pahang Bakal Terima Saguhati Khas

Ada berita baik buat penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Pahang. Kerajaan Negeri Pahang kini sedang mempertimbangkan untuk memberi saguhati khas sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang setia berbakti di bumi Tok Gajah ini.

Menurut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, cadangan tersebut sedang diteliti oleh Bahagian Kewangan Negeri bagi menentukan jumlah penerima dan kesan kewangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kita mungkin tidak mampu beri kepada semua, tapi sedang pertimbangkan saguhati berbentuk token sekitar RM200 hingga RM300, bergantung kepada kemampuan kewangan negeri,” katanya.

Saguhati khas ini dijangka memberi tumpuan kepada penjawat awam yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000. Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri membantu meringankan beban golongan pertengahan yang turut terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Langkah ini juga mengulangi komitmen kerajaan negeri yang sebelum ini pernah menyalurkan bantuan kepada doktor dan petugas Kementerian Kesihatan semasa pandemik Covid-19 sebagai satu bukti penghargaan kepada mereka yang berkorban tanpa mengenal penat lelah.

Berita lebih menggembirakan, penjawat awam negeri Pahang tetap akan menerima bantuan khas kewangan tahunan, seperti tahun-tahun lalu. Malah, jumlahnya berkemungkinan lebih tinggi tahun ini bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.

Setakat ini, hasil negeri Pahang mencecah sekitar RM850 juta, dan dijangka ada tambahan RM150 juta lagi yang menandakan kedudukan kewangan negeri berada dalam keadaan kukuh.

Selain berita saguhati khas, majlis yang dihadiri YAB Menteri Pahang itu turut menyaksikan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mencatat nama dalam Malaysia Book of Records melalui Program Tanaman Pokok Hutan Paya Gambut Terbesar di Malaysia dengan penanaman 20,000 pokok di Hutan Simpan Pekan.

Kerajaan negeri juga menegaskan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dengan dasar baharu iaitu setiap hutan simpan yang dibuka untuk pembangunan wajib diganti dengan keluasan sama di lokasi lain.

Saguhati khas ini mungkin nampak kecil jumlahnya, tapi mesejnya besar ia adalah pengiktirafan kepada penjawat awam yang berkhidmat di Pahang. Dalam masa yang sama, kerajaan negeri tidak lupa menyalurkan bantuan berterusan kepada penjawat awam negeri, sambil memastikan hasil negeri dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Dengan kewangan negeri yang kukuh, program kebajikan rakyat serta kelestarian alam sekitar berjalan seiring, jelas menunjukkan Pahang berada pada landasan stabil untuk terus maju.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow