Ziarah Makmur Dekati Rakyat, Ringankan Beban Pesakit Kronik
Pendekatan turun padang Kerajaan Negeri Pahang menerusi Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Makmur Rakyat (PSRM) Daerah Cameron Highlands membawa sinar kegembiraan kepada pesakit kronik dan keluarga yang berdepan cabaran kesihatan.
Kunjungan pimpinan negeri ke kediaman penerima bukan sahaja menyampaikan bantuan secara terus, malah membuka ruang untuk melihat sendiri keadaan serta keperluan rakyat yang memerlukan.
Kunjungan diketuai YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, bersama Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH Tuan Kamarul Iskandar Nordin, Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH Dato’ Wan Salman Wan Ismail, serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Bagi Muhamad Danial Hakim Mohd Azmi, 25, kunjungan tersebut amat bermakna buat keluarganya yang menjaga bapanya, Mohd Azmi Ramli, 55, yang terlantar akibat strok sejak 2017.
Menurutnya, bantuan dan perhatian Kerajaan Negeri selama ini sedikit sebanyak membantu keluarga menguruskan keperluan bapanya.
“Saya gembiralah… datang melawat ayah. Lepas itu ada bantuan sikit daripada pihak Kerajaan Negeri.”
Beliau turut menyifatkan pendekatan turun padang sebagai satu usaha yang baik kerana membolehkan pemimpin negeri memahami sendiri keadaan keluarga yang berdepan masalah kesihatan.
“Bila buat lawatan macam ini, bolehlah tahu keadaan keluarga itu macam mana.”
Turut menerima kunjungan ialah Selveserepu a/p Alagappilai, 57, yang tinggal bersendirian dan menjalani rawatan dialisis akibat penyakit buah pinggang sejak tujuh tahun lalu.
Kunjungan ke kediaman peninggalan mendiang bapanya itu membuatkan beliau terharu dan bersyukur.
“Saya banyak ‘happy’, banyak syukur. Kira bagus jugalah dan ‘happy’, bagus jugalah mereka buat macam ini.”
Selveserepu yang sebelum ini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diterima.
“Terima kasih banyak-banyak sumbangan untuk saya.”
Program Ziarah Makmur memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk terus mendekati rakyat, khususnya golongan yang berdepan cabaran kesihatan dan kehidupan, dengan memastikan kebajikan serta keperluan mereka sentiasa diberi perhatian.
Apa Reaksi Anda?











