Penerokaan Haram Tasek Bera Jejas Lebih 7,000 Hektar, Kerugian Dianggarkan RM387.8 Juta
Penerokaan secara haram membabitkan kira-kira 7,163 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasek Bera, sekali gus menyebabkan ketirisan hasil kepada Kerajaan Negeri Pahang yang dianggarkan mencecah RM387.8 juta.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dr Grippin Anak Akeng, berkata anggaran itu dibuat berdasarkan nilai stumpej sebanyak RM55,400 bagi setiap hektar tanah yang diteroka.
Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar hanya dapat ditentukan selepas bancian terperinci di lapangan dilaksanakan.
Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali, berkata pemetaan pihaknya mengesahkan kawasan yang disyaki diteroka di HSK Tasek Bera meliputi kira-kira 7,163 hektar.
Menurut beliau, kawasan berkenaan melibatkan tanaman kelapa sawit, getah, kelapa dan tanaman kontan, selain pembukaan kawasan baharu.
“Semakan imej satelit melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut digunakan bagi mengenal pasti keluasan kawasan yang diteroka,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang memulakan operasi penguatkuasaan bersepadu di HSK Tasek Bera pada 14 September lalu, susulan penemuan penerokaan haram membabitkan lebih 7,000 hektar kawasan hutan yang digazetkan di bawah Konvensyen Ramsar.
Kes berkenaan bukan sahaja membabitkan pencerobohan kawasan hutan simpan, malah berpotensi menyebabkan kehilangan hasil negeri dalam jumlah besar serta memberi implikasi terhadap kelestarian kawasan ekosistem penting Tasek Bera.
Apa Reaksi Anda?











