Ini yang FAM perlu buktikan untuk menang lawan FIFA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membuktikan bahawa datuk atau nenek kepada tujuh pemain warisan benar-benar lahir di Malaysia bagi menyokong rayuan mereka kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, isu utama yang dibangkitkan oleh FIFA bukan soal kewarganegaraan pemain, sebaliknya berkait dengan kelayakan bermain untuk negara mengikut Statut FIFA.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tampil menjelaskan mengenai proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang ketika ini sedang menghadapi kes dengan FIFA.
Menurut Nik Erman, tiada sebarang isu di peringkat kerajaan berhubung pemberian kewarganegaraan kepada pemain-pemain berkenaan. Namun, katanya, masalah yang timbul kini berkaitan kelayakan mereka beraksi atas tiket pemain warisan.
“Perlu diingat bahawa isu rayuan FAM bukannya FIFA mempersoalkan kewarganegaraan tujuh pemain itu. FIFA tidak boleh dan tidak mempunyai kuasa untuk mempertikaikan proses serta undang-undang Malaysia dalam memberi kewarganegaraan.
“FIFA hanya mempersoalkan kelayakan pemain mengikut Statut FIFA. Antara kriteria kelayakan yang ditetapkan ialah datuk atau nenek pemain mesti dilahirkan di Malaysia.
"Untuk berjaya dalam rayuan, FAM perlu membuktikan perkara ini bukan sekadar menunjukkan bahawa kewarganegaraan telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nik Erman menjelaskan, tanggungjawab FAM untuk membuktikan bahawa pemain-pemain terbabit layak mewakili Malaysia di bawah Statut FIFA masih kekal dan tidak terhapus walaupun mereka telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
“Menteri Dalam Negeri juga dengan tepat menjelaskan bahawa beliau hanya menerangkan proses pemberian kewarganegaraan, bukan isu kelayakan pemain yang menjadi bidang kuasa FIFA dan FAM,” ujarnya.
Tambahnya lagi, peluang FAM dalam proses rayuan bergantung kepada maklumat sebenar dan bukti sokongan yang belum didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa hujah yang mungkin boleh dikemukakan oleh FAM dalam usaha mempertahankan kes itu.
“Pertama, nama dalam dokumen yang diperoleh FIFA bukan milik datuk atau nenek sebenar tujuh pemain berkenaan mungkin hanya kebetulan sama nama tetapi individu berbeza.
“Kedua, dokumen yang diperoleh FIFA mungkin palsu, namun dakwaan sebegini berat dan memerlukan bukti kukuh.
“Ketiga, rekod atau dokumen tersebut mungkin tidak tepat atau diperoleh daripada sumber tidak sahih, memandangkan FIFA sendiri tidak menjelaskan dari mana dokumen itu diperoleh sama ada daripada agensi kerajaan atau sumber lain,” katanya.
Sebelum ini, FIFA telah mengeluarkan dokumen penuh penghakiman yang mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang sebelum ini digantung kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Tujuh pemain warisan tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
Ketika ini, FAM sedang dalam proses untuk mengemukakan rayuan kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Apa Reaksi Anda?






