Sebelum Tuding Jari, Shahril Azman Patut Cermin Parti Sendiri

Pemimpin PAS Pahang, Shahril Azman, nampaknya kepanasan apabila Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, menyatakan bahawa PAS suka membuat fitnah. Dalam satu video TikTok, Shahril cuba bermain watak “ustaz politik” dengan melontarkan soalan-soalan retorik kononnya UMNO yang mentadbir negara dan negeri Pahang selama 60 tahun punca kerosakan di negara ini.
Antara soalan yang disebutnya termasuk siapa yang meluluskan kilang arak, siapa yang membenarkan kelab malam dan judi, siapa yang menggubal dasar menjauhkan masyarakat daripada Islam, siapa yang menggubal ISA, dan siapa yang menukar penjawat awam kerana tidak menyokong parti pemerintah. Soalan yang kononnya penuh nilai moral itu sebenarnya hanyalah percubaan murahan untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan hari ini jauh daripada nilai Islam.
Namun sebelum Shahril sibuk menuding jari ke arah orang lain, lebih baik beliau bercermin dahulu melihat wajah sebenar partinya. Kalau mahu bercakap soal kilang arak, semasa PAS berada dalam kerajaan Perikatan Nasional dahulu, mereka langsung tidak berani menyentuh isu itu. Kilang Carlsberg di Shah Alam kekal beroperasi seperti biasa, tiada sebarang usaha mahupun keputusan untuk menutupnya. Ironinya, ketika itu menteri agama, menteri undang-undang dan menteri perdana menteri urusan hal ehwal Islam semuanya datang daripada PAS. Mengapa ketika itu mereka membisu seribu bahasa? Di mana semangat “amar makruf nahi mungkar” yang mereka sering laungkan di pentas ceramah? Nampaknya semangat Islamik PAS hanya hidup bila mereka menjadi pembangkang. Bila berkuasa, terus senyap seolah-olah prinsip Islam boleh disimpan di dalam laci kabinet.
Bila Shahril sibuk bertanya siapa yang membenarkan kelab malam, judi dan pesta maksiat, elok juga beliau ingat kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, baru-baru ini yang memberi jaminan bahawa PAS tidak akan menutup pusat perjudian serta-merta jika berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRU-16 akan datang.
Kenyataan itu dengan sendirinya membogelkan hipokrasi PAS. Ketika mereka memerintah negara selama 33 bulan, tiada sebarang usaha dibuat untuk menutup pusat perjudian, maksiat atau kelab malam. Kasino Genting Highlands masih beroperasi seperti biasa. Di Kelantan pula, walaupun PAS berbangga kononnya menutup kedai nombor ekor, laporan Polis Diraja Malaysia menunjukkan Kota Bharu mencatat antara kadar tertinggi bagi kegiatan judi dalam talian. Bukankah itu juga bentuk hiburan maksiat yang mereka sering hina di negeri orang lain? Bila orang lain buat, haram; bila kena pada mereka sendiri, tiba-tiba jadi “dakwah”.
PAS juga tidak perlu berlagak mulia dalam soal dasar ekonomi dan sosial. Di negeri-negeri yang mereka tadbir, kadar kemiskinan masih tinggi, peluang pekerjaan terhad dan anak muda terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki. Kalau benar mereka mahu menegakkan keadilan sosial Islam, mengapa rakyat mereka terus terhimpit dalam kemiskinan? Hakikatnya, mereka lebih sibuk berpolitik daripada membangunkan ekonomi rakyat. Di mana ekonomi berteraskan Islam yang mereka gah-gahkan selama ini? Yang tinggal hanyalah ceramah dan slogan.
Tentang ISA pula, kenyataan Shahril menunjukkan betapa cetek pengetahuannya. Akta ISA sudah lama dimansuhkan pada tahun 2012 oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Ironinya, PAS yang kononnya menentang akta itu kini melantik Tun Dr Mahathir Mohamad orang yang memperkenalkan ISA sebagai Penasihat kepada negeri SG4 yang mereka banggakan. Kalau itu bukan hipokrasi politik, apa lagi namanya?
Shahril juga menuduh kononnya ada kerajaan menukar penjawat awam kerana tidak menyokong parti pemerintah. Tuduhan itu ibarat meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri. Di negeri-negeri yang diperintah PAS, sudah menjadi rahsia terbuka bagaimana pegawai kerajaan, guru dan penjawat awam yang tidak sehaluan dengan parti mereka sering dipinggirkan. Jawatan penting dalam GLC negeri hanya diisi oleh ahli PAS, manakala yang bukan ahli diketepikan. Bila mereka buat, dikatakan menjaga “akhlak pentadbir Islam”. Tapi bila orang lain buat, cepat pula dilabel zalim. Beginilah wajah sebenar parti yang kononnya memperjuangkan keadilan.
Lebih parah lagi, PAS tidak pernah berani berdepan dengan kesalahan mereka sendiri dalam soal akidah dan hukum. Dahulu mereka pernah menuduh UMNO dan sesiapa yang tidak menyokong PAS sebagai kafir, malah lahirlah tragedi Amanat Hadi Awang pada tahun 1981 yang memecahbelahkan umat Islam hingga membawa kepada sembahyang dua imam, perpecahan keluarga dan tragedi berdarah di Memali. Hingga kini, Amanat itu tidak pernah ditarik balik secara rasmi. Maka timbul persoalan, adakah PAS pernah mengeluarkan fatwa baharu yang membatalkan pandangan sesat mereka itu? Tiada. Mereka hanya memilih untuk diam, tetapi kesannya terhadap perpaduan umat masih berlarutan hingga ke hari ini.
Dalam soal bukan Islam membaca al-Quran, PAS juga menunjukkan wajah hipokrit yang ketara. Ketika Lim Guan Eng membaca terjemahan ayat al-Quran pada tahun 2019, pemimpin PAS menuduhnya menghina Islam dan tidak layak menyentuh kitab suci itu. Namun apabila Dr. Dominic Lau, Presiden Gerakan yang bukan Islam, membaca ayat al-Quran di pentas ceramah PN, PAS tiba-tiba menjadi bisu. Tidak pula dikatakan haram atau menghina agama. Jelas, bagi PAS, hukum berubah mengikut siapa yang melakukannya bila kena pihak lawan, haram; bila kena kawan sendiri, terus jadi “harus demi dakwah”.
Di Pahang, PAS tidak pernah berhenti menabur fitnah terhadap kerajaan negeri. Mereka menuduh kerajaan negeri tidak Islamik semata-mata kerana tidak mengikut acuan pentadbiran mereka, sedangkan pentadbiran YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah diiktiraf oleh Ketua Audit Negara dengan “Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion)”, bukti pengurusan kewangan yang bersih dan telus. PAS turut menyebar dakwaan kononnya kerajaan negeri boros kerana hutang awam meningkat, sedangkan hakikatnya peningkatan itu berpunca daripada pelaburan strategik untuk pembangunan infrastruktur dan manfaat rakyat, bukan kerana pembaziran. Lebih dangkal, mereka menuduh kerajaan negeri tidak serius memartabatkan Islam sedangkan saban tahun, ratusan juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan masjid, sekolah agama rakyat dan pendidikan Islam. Malah apabila kerajaan negeri menganjurkan Himpunan Solidariti Sumud Flotilla untuk Palestin baru-baru ini, PAS pula menuduhnya bermotif politik, sedangkan himpunan itu langsung tidak melibatkan parti politik, hanya tanda solidariti kemanusiaan sejagat. Beginilah sikap PAS, kalau bukan mereka yang buat, semuanya salah dan bidaah.
Justeru sebelum Shahril Azman terus bersyarah dengan gaya khutbah politik di TikTok, lebih baik beliau menjawab dahulu segala kegagalan dan kepura-puraan partinya sendiri.
Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tidak perlu berlumba dalam retorik agama seperti PAS. Pahang ditadbir dengan adil, stabil dan berpaksikan nilai Islam sebenar bukan Islam yang dijadikan alat politik. Islam sebenar bukan pada serban dan slogan, tetapi pada pentadbiran yang amanah, adil dan membawa rahmat kepada seluruh rakyat. Itulah yang diamalkan di Pahang hari ini. Yang dibawa oleh PAS pula hanyalah Islam versi politik bunyi suci di pentas, tapi penuh kepura-puraan dalam tadbir urus.
Apa Reaksi Anda?






