Generasi muda diseru jaga alam sekitar, warisan
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru generasi muda negeri ini agar terus memikul tanggungjawab memelihara alam sekitar dan warisan sedia ada sebagai amanah untuk generasi akan datang.
Baginda bertitah, kelebihan Pahang iaitu lebih separuh kawasan di negeri tersebut masih diliputi hutan dara menjadi khazanah berharga bukan sahaja untuk rakyat malah kepada seluruh negara.
“Sebahagian besar Taman Negara terletak di dalam negeri Pahang. Untuk maklumat, negeri ini mempunyai lebih kurang dua juta hektar kawasan hutan yang masih dara, tidak boleh disentuh oleh mana-mana pertubuhan atau syarikat.
“Kita akan terus memegang amanah ini untuk memelihara hutan-hutan yang kita ada di negeri Pahang,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan Pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP) di Dataran Orang Kaya Haji di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal.
"Kita juga harus memelihara sungai-sungai kita kerana mungkin ada yang sudah bertoksik atau kotor. Saya harap bukan sekadar program memanjat bukit, tetapi juga program kesedaran di kawasan sungai,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut melahirkan kebimbangan terhadap pencemaran di kawasan air terjun serta peningkatan penyakit kencing tikus (leptospirosis) yang boleh menjejaskan sektor rekreasi di negeri ini.
“Kalau boleh, kenal pasti air terjun yang boleh dipelihara sebaik mungkin. Jika kerajaan tidak dapat menumpukan pada semua, mungkin kita boleh bekerjasama dengan NGO atau syarikat-syarikat swasta,” titah baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menyeru supaya bangunan lama dan seni budaya Melayu terus dipelihara sebagai sebahagian daripada warisan negeri.
“Saya harap kerajaan juga memberi perhatian kepada seni budaya kita. Kalau ada majlis perkahwinan orang Melayu, jangan malu untuk memakai baju Melayu,” titah baginda.
Dalam majlis sama, baginda turut berkongsi fakta menarik mengenai kekayaan geografi negeri ini yang mempunyai 69 gunung dan bukit, termasuk Gunung Tahan sebagai yang tertinggi dengan ketinggian 2,187 meter dari paras laut.
Sementara itu, baginda menzahirkan penghargaan terhadap usaha penubuhan MRP yang disifatkan sebagai satu inisiatif penting dan mencabar dalam memelihara khazanah alam negeri Pahang.
“Saya anggap (penubuhan MRP) satu cadangan yang agak mencabar kerana ia melibatkan banyak risiko dalam menghadapi cabaran seperti mendaki bukit dan sebagainya.
“Namun, apa yang saya dapat lihat, termasuk melalui TikTok, pasukan Yang Berhormat (YB Tuan Fadzli) dan rakan-rakan telah membuktikan keupayaan dan kesungguhan mereka, terutamanya dalam ekspedisi mendaki Gunung Tahan baru-baru ini,” titah baginda.
Apa Reaksi Anda?











