Dua tragedi ukur tahap keselamatan sekolah
Dalam tempoh kurang seminggu, dua insiden tragik melibatkan kematian murid sekolah rendah di Negeri Sembilan telah menggemparkan negara dan mengundang persoalan besar berkaitan tahap keselamatan di sekolah.
Kejadian pertama berlaku pada 27 September lalu di sebuah sekolah rendah di Lenggeng apabila seorang murid lelaki Tahun Tiga maut selepas terjatuh ke dalam kolam kumbahan sedalam lebih 1.8 meter di kawasan sekolah.
Insiden menyayat hati itu berlaku ketika program Hari Sukan sedang berlangsung apabila mangsa yang juga anak kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut dipercayai memijak penutup lubang kumbahan jenis fiber yang tidak kukuh sebelum terjatuh.
Beberapa hari kemudian, pada 1 Oktober, seorang lagi murid lelaki Tahun Empat dari sebuah sekolah di Senawang pula ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik swasta.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher. Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan perbuatan buli.
Dua kejadian ini bukan sahaja mengejutkan masyarakat, malah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ibu bapa mengenai tahap keselamatan anak-anak mereka di sekolah.
Dari segi fizikal, kematian murid di Lenggeng dikaitkan dengan kecuaian dalam aspek penyelenggaraan infrastruktur. Lubang kumbahan yang tidak ditutup dengan selamat atau menggunakan bahan tidak tahan lasak sepatutnya tidak berlaku di kawasan sekolah, lebih-lebih lagi semasa aktiviti besar seperti Hari Sukan.
Sementara kes di Senawang pula membongkar isu keselamatan sosial apabila dakwaan unsur buli dikaitkan dengan punca kepada tragedi tersebut.
Ini menunjukkan isu keselamatan di sekolah perlu dilihat secara menyeluruh bukan sahaja dari sudut struktur fizikal, tetapi juga dari segi perlindungan emosi dan sosial murid.
Antara langkah yang harus dipertimbangkan segera adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik sekolah, termasuk laluan murid, berdekatan kawasan tandas dan tempat tertutup lain.
CCTV bukan sahaja bertindak sebagai pencegah insiden, malah membantu mendapatkan bukti pantas sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti ini.
Namun, pemasangan CCTV di semua sekolah memerlukan kos besar. Oleh itu, kerajaan boleh menggalakkan penglibatan sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat, dan individu dermawan untuk membantu membiayai pemasangan sistem keselamatan ini.
PIBG juga boleh memainkan peranan penting dalam menggerakkan kutipan dana secara telus dan tersusun.
Sekolah juga perlu menyediakan saluran aduan yang selamat dan mesra kanak-kanak agar murid yang mengalami tekanan dapat meluahkan perasaan mereka lebih awal sebelum tragedi berlaku.
Selain itu, guru dan staf sekolah rendah perlu diberi latihan khas untuk mengenali tanda-tanda awal tekanan atau perubahan tingkah laku dalam kalangan murid.
Kanak-kanak pada usia ini mungkin belum mampu meluahkan perasaan dengan jelas, jadi peranan guru amat penting dalam memerhati dan memberikan sokongan awal.
Pada masa sama, ibu bapa perlu dilibatkan secara aktif dalam usaha memperkukuh keselamatan murid melalui sesi dialog, aktiviti dan gotong-royong dilihat boleh meningkatkan kesedaran serta rasa tanggungjawab bersama.
Kesimpulannya, semua pihak sama ada kerajaan, sekolah, ibu bapa dan masyarakat mesti mengambil tanggungjawab kolektif untuk memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat dan menyokong perkembangan sihat anak-anak.
Apa Reaksi Anda?











