Sekolah Politik UMNO Bentuk Pemimpin Masa Depan
Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pendidikan politik sebagai asas penting dalam membentuk kepimpinan masa depan yang matang, berilmu dan berjiwa perjuangan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas bersama dengan peserta Sekolah Politik UMNO (SPU) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
“Alhamdulillah, saya melihat sinar masa depan pada wajah mereka, anak-anak muda yang datang dengan tekad untuk memahami politik sebagai medan khidmat dan amanah untuk membela rakyat serta mempertahankan maruah bangsa,” katanya.
Tambah beliau, ilmu politik yang diajarkan di SPU bukan sekadar teori tetapi menjadi asas dalam pembinaan jati diri, idealisme serta daya juang generasi pelapis UMNO.
Zahid turut menyeru peserta untuk berani berfikir serta menyuarakan pandangan secara matang dan bertanggungjawab.
“Jangan takut berbeza pandangan, tetapi pastikan perbezaan itu membawa kita lebih dekat kepada kebenaran dan kemajuan.
“UMNO akan terus menjadi wadah yang membimbing generasi muda agar matang berpolitik dengan adab, berhujah dengan ilmu, dan berkhidmat dengan kasih sayang,” ujar beliau.
Apa Reaksi Anda?











