Isu Dakwaan Hina Sahabat Nabi: Fadlan Aiman Persoal Keikhlasan Pas Pertahan Agama
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Fadlan Aiman Mhd Fadzy mempertikaikan kredibiliti kepimpinan Pas susulan tindakan Setiausaha Majlis Syura Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Katanya, tindakan Nik Zawawi dilakukan secara terbuka, justeru sebarang desakan, teguran mahupun tuntutan permohonan maaf juga perlu dibuat secara terbuka oleh kepimpinan Pas jika benar parti itu serius mempertahankan agama.
“Walaupun kita tahu ada desakan namun desakan itu hanya dalaman saja. Kita tahu beliau melakukan secara terbuka maka desakan itu perlu berlaku secara terbuka dan itulah yang perlu dilakukan oleh kepimpinan Pas ini.
“Penghinaan dan penyalahan fakta berkaitan agama perlu diperbetulkan secara terbuka. Maka desakan dan tuntutan maaf itu juga wajib dibuat secara terbuka. Itu yang membuktikan keteguhan kepimpinan Pas,” katanya.
Beliau turut menyindir tindakan sesetengah anggota dalam Pas yang dilihat cuba mempertahankan kenyataan tersebut atas dasar hubungan kelompok dan kepentingan dalaman parti.
“Apabila kita melihat ada mainan dalaman, ‘backup’, sepupu dan sebagainya, itu jelas menunjukkan sikap ‘assobiyah’, bahawa Pas tidak istiqamah dalam memperjuangkan agama.
“Kalau benar mahu menjadi parti yang membawa imej Islam, maka keberanian menegur kesalahan sendiri perlu didahulukan, bukannya memilih untuk berdiam diri apabila melibatkan pemimpin sendiri,” katanya lagi.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Agamawan Pemuda mempersoalkan sikap membisu Pas dalam isu melibatkan penghinaan terhadap sahabat Nabi SAW walaupun parti itu selama ini sering melaungkan perjuangan mempertahankan agama.
“Di manakah dalil-dalil yang selama ini Pas perjuangkan dan diuar-uarkan kononnya mereka parti yang paling mempertahankan agama? Sedangkan apabila timbul isu penghinaan terhadap sahabat Nabi SAW, mereka terus berdiam diri.
“Lebih mengecewakan apabila ada pimpinan mereka sendiri mengeluarkan pandangan yang salah, namun sehingga hari ini kepimpinan Pas masih gagal menyatakan pendirian yang jelas. Pandangan itu pula datang daripada pemimpin nombor dua parti tersebut,” jelasnya.
Menurut beliau, sikap membisu dan bermain politik dalam perkara berkaitan agama hanya akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap keikhlasan perjuangan Pas.
Katanya lagi, jika benar Pas mahu dilihat sebagai parti yang memperjuangkan Islam, maka mereka perlu berani menegur kesilapan secara terbuka tanpa mengira siapa yang terlibat, bukannya hanya lantang ketika melibatkan pihak lawan politik.
“Tegas dalam agama bukan sekadar retorik di pentas ceramah, tetapi mesti dibuktikan melalui tindakan dan pendirian yang konsisten,” ujarnya.
Apa Reaksi Anda?











