PAS Kini Gila Undi Bukan Melayu: Dulu LTTE & Hindraf Musuh, Sekarang Rakan Strategik?
PAS hari ini bukan lagi PAS yang dulu. Dulu gah melaungkan perjuangan Islam, menentang keras apa saja yang bercanggah dengan prinsip mereka kononnya. Tapi hari ini, demi secebis undi bukan Melayu, semua musuh lama boleh jadi kawan mesra, ini "strategi politik", kata mereka tapi lebih tepat ialah politik terdesak tahap nazak.
Tak lama dulu, PAS antara parti paling lantang menjerit tentang bahaya LTTE di Malaysia. Tahun 2019, masa beberapa individu ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan kumpulan pengganas itu, PAS berdiri teguh di belakang tindakan keras kerajaan. Siap beri amaran lagi supaya tak ada elemen radikal dibenarkan bernafas di bumi Malaysia.
Tetapi sekarang tiba-tiba kita dengar berita wakil PAS "berbincang" dengan individu yang ada sejarah atau sekurang-kurangnya simpati terhadap perjuangan LTTE. Bukan setakat berbincang, siap senyum dalam gambar pertemuan. Dah lupa ke siapa yang dulu digelar “pengganas”? Atau memang sengaja buat-buat lupa sebab ketagih kerusi Parlimen dah kemaruk kuasa?
Jangan lupa juga yang Hindraf adalah satu gerakan yang lantang memperjuangkan hak komuniti India, tetapi dalam naratif PAS dulu, Hindraf dikatakan terlalu ekstrem dan anti-Islam. Siap pernah ada kenyataan PAS yang menyamakan gerakan itu sebagai perosak keharmonian kaum.
Tapi sekarang PAS bukan saja tak kritik, malah cari ruang rundingan. "Perpaduan nasional", kononnya. Ironinya, bila parti lain buat perkara sama untuk buka ruang kepada pelbagai kaum, PAS kata itu "gadai Islam". Tapi bila mereka sendiri buat, itu "hikmah politik".
PAS kini dah jadi bahan ketawa arena politik negara. Dulu jual jenama Islam tegar, hari ni dah seperti peniaga bundle yang jual apa sahaja, asal boleh kekal berkuasa. Hari ni cium tangan NGO ekstremis India, esok entah siapa pula?
Yang lebih kelakar, dalam ceramah mereka masih bercerita tentang konspirasi DAP dan “ancaman liberalisme”, tapi dalam masa sama menjalin hubungan mesra dengan bekas aktivis Hindraf yang dulunya dikatakan rasis. Mana satu sebenarnya perjuangan PAS ni? Atau memang dah tak ada perjuangan langsung?
Sebenarnya mudah saja nak faham kenapa PAS kini sanggup telan ludah sendiri. Sebab undi Melayu tak lagi cukup. Dalam banyak pilihan raya kecil dan negeri, majoriti bukan Melayu semakin kuat menolak Perikatan Nasional. Maka PAS yang kononnya "berprinsip" ini pun mula panik. Bila survival parti mula tergugat, prinsip pun boleh dilelong.
PAS hari ini bukan lagi pembela Islam, tapi penjaja undi. Sanggup tukar haluan asal demi nak raih simpati kaum yang dulu mereka maki. Ini bukan siasah Islamiyyah. Ini politik lidah bercabang.
Mungkin PAS ingat orang dah lupa. Tapi malangnya untuk mereka, rakyat Malaysia terutamanya generasi muda tak lagi mudah diperbodohkan dengan retorik agama yang bermuka-muka. Orang dah nampak jelas, bila kuasa jadi matlamat utama, segala prinsip boleh dijual borong.
Hari ini peluk bekas Hindraf, esok entah peluk siapa. Dulu kata kafir harbi, sekarang peluk mesra atas nama "tahaluf siyasi". Akhirnya, siapa pun tak percaya lagi dengan lakonan PAS.
Akhirnya prinsip agama boleh dilentur ikut arah tiupan politik, maka jelaslah perjuangan itu bukan kerana Allah, tapi kerana kerusi.
Apa Reaksi Anda?











