Pahang Terus Menyerlah: RM8.9 Bilion Pelaburan Dalam Sembilan Bulan

Pahang kini bukan sekadar negeri hijau yang kaya dengan sumber alam tetapi ia sedang berkembang menjadi hab pelaburan utama Pantai Timur. Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya mencatat RM5 bilion pelaburan direalisasi dan RM3.9 bilion pelaburan komited di negeri ini.
Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, kejayaan itu menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap dasar ekonomi dan kestabilan pentadbiran negeri, sekaligus menjadikan Pahang antara peneraju utama pertumbuhan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Kejayaan ini membuktikan kekuatan ekonomi negeri dan keyakinan pelabur terhadap dasar pro-pelaburan yang dilaksanakan kerajaan negeri,” ujar beliau.
Daripada jumlah pelaburan direalisasi tersebut 41% datang daripada sektor pembuatan, 4% daripada minyak dan gas serta 25% daripada perkhidmatan.
Gabungan ini telah mewujudkan hampir 2,846 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat negeri ini.
Sementara itu, pelaburan komited RM3.9 bilion tertumpu kepada sektor pembuatan (95%) dan pertanian (5%), yang bakal menghasilkan lebih 3,000 peluang pekerjaan tambahan apabila projek-projek ini direalisasikan sepenuhnya.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang baru-baru ini, ECERDC menandatangani empat perjanjian pelaburan utama bernilai RM1.6 bilion dengan syarikat-syarikat berikut:
PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn. Bhd. – menubuhkan Pusat Data AI.
Sinolion Wheels Technology Sdn. Bhd. – menghasilkan rim roda aloi aluminium.
Malaysian Solar Resources Sdn. Bhd. – membina kilang teknologi hijau.
Lionphos Sdn. Bhd. – menghasilkan fosfat gred makanan dan elektronik.
Langkah ini bukan sahaja memperkukuh sektor industri, malah menggerakkan Pahang ke arah ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.
Selain pelaburan besar, ECERDC turut menyerahkan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Langkah ini menandakan kemajuan penting dalam pemuliharaan biodiversiti dan ekopelancongan mampan, dua sektor yang menjadi pelengkap kepada pembangunan ekonomi negeri.
Dengan hampir RM9 bilion pelaburan terkumpul, Pahang kini muncul sebagai model pembangunan seimbang antara industri moden dan kelestarian alam.
Keupayaan kerajaan negeri menarik pelabur berteknologi tinggi serta mengekalkan kestabilan politik memberi isyarat bahawa Pahang sedang bersedia melangkah ke fasa pertumbuhan ekonomi baharu.
Di bawah Aspirasi Pahang 1st, kerajaan negeri jelas fokus membina masa depan yang bukan sahaja makmur, tetapi juga mampan dengan menjadikan rakyat sebagai penerima manfaat sebenar daripada setiap pelaburan yang masuk.
Apa Reaksi Anda?






