Di Sebalik Tragedi - UPSI
Seluruh rakyat Malaysia berduka atas tragedi yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI baru-baru ini. Ucapan “UPSI BERDUKA” yang tular di media sosial bukan sekadar laungan simpati, tetapi cerminan betapa besarnya kehilangan yang dirasai. Permata negara yang masih muda, gugur dalam sekelip mata.
Di media sosial, netizen meluahkan rasa kesal dan marah dari pelbagai sudut. Ada yang menyalahkan pemandu, ada yang mempersoalkan penyelenggaraan kenderaan, dan tidak kurang juga yang menuding kepada keadaan Jalan Raya Grik–Jeli yang sememangnya terkenal sebagai laluan berisiko tinggi. Bagi yang pernah melalui jalan ini, mereka tahu permukaannya yang rosak, gelap tanpa pencahayaan mencukupi, dan menjadi laluan haiwan liar seperti gajah, menjadikan ia satu perangkap bahaya yang telah lama diabaikan.
Laluan yang menghubungkan Kelantan dan Perak ini perlu diambil perhatian demi keselamatan pengguna. Tragedi ini seharusnya menjadi titik mula kepada keprihatinan yang lebih serius terhadap keselamatan infrastruktur, sebelum lebih banyak nyawa yang akan terkorban.
Sebagai masyarakat yang celik dan bijak menilai, kita tidak boleh terus menerima naratif mudah yang menuding kesalahan semata-mata kepada kerajaan Persekutuan. Hakikatnya, kepimpinan PAS yang telah mentadbir negeri ini selama lebih tiga dekad seharusnya sudah lama menunjukkan keupayaan mereka dalam memperbaiki infrastruktur, terutamanya di kawasan-kawasan yang kerap mencatatkan nahas jalan raya yang meragut nyawa.
Tanggungjawab menjaga keselamatan rakyat tidak hanya terletak di bahu kerajaan Persekutuan semata-mata. Ia turut menjadi amanah penting bagi mereka yang telah diberi kepercayaan mentadbir negeri apatah lagi setelah lebih tiga dekad memegang tampuk kuasa. Cukuplah dengan budaya menuding jari kerana sudah tiba waktunya kita menilai, sejauh mana amanah itu benar-benar ditunaikan.
Realitinya, kegagalan memperbaiki infrastruktur seperti di Jeli mendedahkan satu kelemahan yang nyata iaitu hubungan kerajaan negeri Kelantan dengan kerajaan Persekutuan yang longgar, menyebabkan usaha mendapatkan peruntukan pembangunan sering tersekat. Dan malangnya, yang menjadi mangsa adalah rakyat di bawah, bukan ahli politik di atas.
Sebagai perbandingan, lihat sahaja negeri Pahang yang laluan utamanya seperti Central Spine Road (CSR) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sentiasa diselenggara dengan baik. Ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada hubungan kerja yang pragmatik antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Rakyat mendapat manfaat apabila pemimpin meletakkan kepentingan mereka di depan, bukan ego politik.
Justeru, sebelum ghairah melaungkan “PAS Tawan Pahang”, elok kiranya tumpu dahulu kepada negeri sendiri. Jangan sampai kelihatan seperti rumah sendiri bocor, tapi sibuk mahu membaiki bumbung rumah jiran.
Nukilan
Nadia Rose
Apa Reaksi Anda?











