‘Keputusan MIC Bukan Sekadar Politik Hari Ini, Tetapi Masa Depan Malaysia’

Oleh : BARD
Mac 27, 2026 - 10:00 MYT
‘Keputusan MIC Bukan Sekadar Politik Hari Ini, Tetapi Masa Depan Malaysia’

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang memutuskan untuk terus kekal bersama BN sebagai cerminan kepada akar sejarah dan semangat perjuangan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ini kerana sejak era Perikatan (1955–1973) dan kemudiannya melalui Barisan Nasional gabungan ini telah melalui pelbagai ujian termasuk perubahan landskap nasional, namun masih kekal bertahan kerana asasnya.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada CWC MIC yang bermesyuarat semalam atas keputusan yang jelas, tegas dan berpandangan jauh untuk terus kekal bersama BN.

“Keputusan ini bukan sekadar satu pendirian politik semasa, tetapi merupakan cerminan kepada akar sejarah dan semangat perjuangan yang telah lama terbina sejak era Perikatan (1955–1973), dan kemudiannya diperkukuh melalui BN (1974 hingga kini).

“Dalam tempoh panjang ini, gabungan ini telah melalui pelbagai ujian, daripada cabaran perkauman, tekanan politik, hinggalah kepada perubahan landskap nasional, namun BN masih kekal bertahan kerana asasnya adalah kepercayaan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dr Zambry dalam pada itu memaklumkan keputusan untuk kekal bersama BN juga mempunyai justifikasi yang kukuh dan rasional terutama membabitkan kestabilan dan kesinambungan.

Menurut beliau ini kerana dalam keadaan politik yang semakin berpecah dan tidak menentu, rakyat memerlukan satu platform stabil dan berpengalaman, dengan BN yang telah membuktikan kemampuannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik.

“Kedua, kekuatan muafakat pelbagai kaum. BN bukan sekadar gabungan parti, tetapi satu model kerjasama antara kaum yang telah diuji oleh masa. Dalam konteks Malaysia yang majmuk, kekuatan ini amat penting untuk memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.

“Ketiga, keupayaan untuk memperbaharui diri. Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, BN tidak statik. Ia sedang melalui proses penstrukturan semula,
memperkukuh organisasi dan memperbaharui pendekatan agar lebih responsif kepada kehendak rakyat masa kini.

“Keempat, menolak politik perpecahan. Dalam suasana di mana terdapat usaha untuk memecah-belahkan kesatuan sedia ada, keputusan ini menghantar isyarat jelas bahawa prinsip kebersamaan dan solidariti tidak boleh digadai demi kepentingan jangka pendek,” ujar beliau.

Justeru kata beliau, usaha memperkemaskan BN akan terus dipergiatkan selagi semangat kesatuan ini dipertahankan dengan jujur dan ikhlas, dengan sebarang cubaan untuk melemahkan atau memecah-belahkan gabungan ini akan dapat ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan kekuatan dalaman.

“Akhirnya, keputusan ini bukan hanya tentang hari ini, tetapi tentang masa depan bahawa politik yang berteraskan kesatuan, kesederhanaan dan tanggungjawab masih mempunyai tempat yang penting dalam membina Malaysia yang lebih stabil dan sejahtera,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow