Isu Arak Bukan Bahan Gurauan

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh menegaskan bahawa isu arak bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan gurauan mahupun sindiran politik murahan.
Menerusi satu kenyataan, beliau mengecam sekeras-kerasnya tindakan salah seorang ahli politik yang bertindak menyindir Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu arak.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadab yang dikeluarkan oleh salah seorang ahli politik yang menyindir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu hidangan arak.
“Kenyataan beliau bukan sekadar tidak matang, tetapi juga kurang ajar, angkuh dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam serta kedudukan seorang pemimpin negara. Sindiran seperti ‘yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk’ jelas menunjukkan kebodohan politik dan hilangnya adab seorang yang kononnya bergelar pemimpin.
“Pertama, Pemuda UMNO Bagan Datuk menegaskan bahawa isu arak bukan bahan gurauan atau sindiran politik murahan. Ini soal maruah dan pegangan agama. Apabila seorang pemimpin boleh bersenda tentang perkara yang jelas haram di sisi Islam, ia memperlihatkan betapa ceteknya kefahaman beliau terhadap nilai hidup bermasyarakat di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut beliau berkata, rakyat sudah semakin muak dengan politik yang hanya tahu menghina orang lain tanpa menyumbang apa-apa idea membina.
“Kedua, jangan sesekali cabar kesabaran kami, anak muda UMNO. Kami boleh berbeza pandangan, tapi kami tidak akan berdiam diri apabila pemimpin kami dihina, agama kami dipermainkan dan maruah bangsa kami dijadikan bahan ketawa.
“Ketiga, kalau beliau fikir sindiran sebegitu akan menaikkan saham politiknya, silap besar. Rakyat semakin muak dengan politik mulut longkang yang hanya tahu menghina orang lain tanpa menyumbang apa-apa idea membina.
“Politik bukan lesen untuk menjadi biadab dan jangan lupa kesabaran orang muda ada batasnya. Apabila maruah pemimpin dan agama dihina, kami tidak akan berdiam diri,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?






