Pahang Terus Prihatin: RM765,923 Disalurkan kepada 35 Penerima
Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan komitmen membela rakyat apabila menyalurkan sumbangan berjumlah RM765,923 kepada 35 penerima menerusi Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), Kuantan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa kestabilan ekonomi dan kecekapan pengurusan kewangan negeri menjadi kunci utama kepada kemampuan kerajaan menyalurkan bantuan berterusan.
“Sumbangan ini tidak berlaku begitu sahaja. Ia hasil daripada kedudukan kewangan negeri yang kukuh. Anak-anak syarikat milik kerajaan yang sebelum ini berdepan cabaran kini berjaya mencatat keuntungan, dan keuntungan itu kita salurkan semula untuk manfaat rakyat,” katanya.
Majlis penyerahan tersebut adalah kesinambungan daripada pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini, termasuk Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) yang melibatkan pendidikan, keagamaan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
Menteri Besar turut menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen negatif, sebaliknya memberi sokongan padu terhadap usaha pembangunan negeri.
“Kerajaan Negeri bekerja keras untuk rakyat. Jadi tolonglah bersama kita, jangan termakan persepsi yang tidak benar,” ujarnya.
Sumbangan ini membuktikan bahawa Pahang bukan sahaja stabil dari segi ekonomi, malah sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dalam setiap langkah pentadbirannya.
Apa Reaksi Anda?











