Jangan biarkan masjid sunyi tanpa imam, jemaah

Oleh : BARD
Mac 5, 2025 - 14:00 MYT
Jangan biarkan masjid sunyi tanpa imam, jemaah

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan agar masjid tidak dibiarkan sunyi tanpa imam, jemaah, dan ilmu.

Baginda turut menyeru rakyat agar sentiasa mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah lima waktu dan menghadiri majlis ilmu.

“Jangan biarkan mihrab ini sunyi tanpa imam, jangan biarkan ruangnya lengang tanpa jemaah, jangan biarkan mimbar ini sepi tanpa ilmu. Hadirilah majlis-majlis ilmu yang dianjurkan, kerana ilmu itu cahaya, dan cahaya itu petunjuk menuju kejayaan dunia serta akhirat.

"Penuhilah rumah-Nya yang mulia ini dengan solat berjemaah lima waktu, kerana setiap langkah yang dihayun ke masjid membawa keberkatan, setiap saf yang dirapatkan mengundang rahmat, dan setiap sujud yang tertunduk, menyinari hati dengan cahaya keimanan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Pemasyhuran Nama Baharu Masjid Kampung Padang Polo, Pekan dan Berbuka Puasa, di sini pada Selasa.

Baginda juga berkenan memasyhurkan nama Masjid Kampung Padang Polo sebagai Masjid Tengku Ampuan Fatimah, Kampung Padang Polo.

Pemasyhuran nama masjid yang dibina sejak tahun 1995 itu adalah bersempena nama Almarhumah nenda Paduka Baginda, Almarhumah Tengku Ampuan Besar Pahang,Raja Fatimah Almarhum Sultan Iskandar Shah.

Keberangkatan baginda ke masjid berkenaan diiringi oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bertitah Padang Polo, lokasi terletaknya masjid ini, adalah tempat baginda bermain polo sejak di awal usia sebagai generasi keempat yang mewarisi tradisi sukan berkuda itu.

Justeru, baginda mengingatkan rakyat agar menjadikan sukan sebagai jambatan kesihatan.

“Di sebalik namanya, tersirat hikmah yang mendalam, mengingatkan kita bahawa Islam tidak hanya mengangkat rohani sebagai tunjang kehidupan, tetapi turut menekankan pentingnya jasmani yang sihat dan kuat.

“Maka, marilah kita jadikan sukan sebagai jambatan kesihatan, dan riadah sebagai wasilah keutuhan jasmani,” titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat agar memperindahkan kampung bukan hanya dari segi keindahan fizikal, tetapi juga dengan keluhuran akhlak.

"Perindahkanlah kampung kita ini, bukan hanya dengan keindahan landskapnya, tetapi dengan keluhuran akhlaknya.

"Sesungguhnya, sebuah kampung yang makmur bukan hanya terletak pada keindahan zahirnya, tetapi pada kemuliaan penghuninya – yang tekun beribadah, rajin menuntut ilmu, menjaga kebersihan, serta hidup dalam harmoni dan ukhuwah yang erat. Insya-ALLAH." titah baginda.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow