'Ingatkan saat terakhir dalam hidup’ – Penumpang MH2742 kongsi detik cemas pesawat isytihar kecemasan

Oleh : BARD
Oktober 23, 2025 - 14:00 MYT
'Ingatkan saat terakhir dalam hidup’ – Penumpang MH2742 kongsi detik cemas pesawat isytihar kecemasan

"Saya sangkakan itulah penerbangan terakhir dalam hidup kami suami isteri."

Demikian luahan seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH2742 yang berkongsi detik cemas ketika pesawat itu mengalami penurunan tekanan udara sebelum mendarat di Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak pada Rabu.

Menerusi hantaran di Facebook, Abdul Jalil berkata, insiden itu berlaku kira-kira satu jam sebelum pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.20 pagi itu dijadual mendarat.

Menurutnya, keadaan bertukar panik apabila kedengaran bunyi ganjil diikuti pesawat terasa menjunam sebelum alat bantuan pernafasan jatuh secara automatik dari ruang atas tempat duduk penumpang.

"Apabila keluar alat bantuan penafasan dan kapten mengisytiharkan kecemasan (dan) menasihati penumpang untuk memasang alat bantuan penafasan, saya tahu ada sesuatu yang tidak elok berlaku.

"Pada masa itu hati saya terdetik, kiranya inilah penerbangan terakhir kami, sekurang-kurangnya ada rakaman terakhir untuk tatapan anak-anak dan cucu," tulisnya.

Abdul Jalil berkata, suasana di dalam kabin bertukar hening dengan ramai penumpang kelihatan cemas sementara pramugari tidak kelihatan memberi arahan seperti biasa.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila juruterbang memaklumkan pesawat kembali stabil pada ketinggian 10,000 kaki sebelum berjaya mendarat dengan selamat di Bintulu pada jam 10.35 pagi.

"Alhamdulillah, kami selamat mendarat. Peristiwa singkat ini terasa begitu panjang kerana pelbagai kenangan dan doa silih berganti dalam fikiran," ujarnya

Dalam hantaran itu juga, Abdul Jalil mengakui pengalaman tersebut memberi kesedaran besar tentang erti kehidupan dan kebergantungan manusia kepada ALLAH SWT.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow