Teruja dapat duduki rumah baru sebelum Aidilfitri
Seorang penyelia ladang lega selepas impian memiliki rumah sendiri tercapai selepas beberapa tahun menyewa.
Mohd Sharif Aziz, 34, merupakan antara 57 penerima Rumah Makmur Bandar Jengka bernilai RM80,000 yang menerima kunci disampaikan Menteri Besar, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, di sini pada Jumaat.
"Rasa syukur, teruja dan gembira sangat kerana penantian selepas empat tahun menyewa akhirnya dapat memiliki rumah yang ditawarkan kerajaan negeri.
"Saya dan isteri, Umizatul Nazira Ramli, 34, berhasrat untuk pindah ke rumah ini sebelum Aidilfitri nanti," katanya.
Bagi seorang pembantu makmal, Mohd Imran Ismail, 39, peluang memiliki Rumah Makmur itu mengurangkan beban buat dirinya kerana jumlah pinjaman bulanan lebih rendah berbanding di lain-lain agensi bank.
"Saya perlu membayar lebih RM500 sebulan dan jumlah ini lebih rendah berbanding di bank.
"Sangat bersyukur dan tidak sabar untuk pindah ke rumah bersama isteri dan dua anak sebelum Aidilfitri nanti," katanya yang juga telah menyewa selama tujuh tahun.
Dalam majlis sama, seramai 58 penerima rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang bernilai RM150,000 seunit turut menerima kunci.
Projek perumahan di Bandar Jengka itu menyaksikan penglibatan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dan Syarikat Angsanapuri Development Sdn Bhd selaku pemaju projek terbabit.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, Rumah PR1MA Pahang membabitkan nilai RM8.7 juta dan Rumah Makmur bernilai RM4.56 juta dan ia adalah usaha kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan rakyat memiliki rumah sendiri.
Menurutnya, turut dilancarkan sebanyak 470 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi Fasa 5 turut dilancarkan termasuk 120 unit untuk masyarakat Orang Asli bernilai RM36 juta.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur Bandar Jengka dan Pelancaran RRP Fasa 5, di Perumahan PR1MA Pahang dan rumah Makmur Bandar Jengka.
Jelasnya lagi, bagi RRP, sebanyak lapan buah dibina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan nilai RM80,000 sebuah untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan bantuan RM2,000 membeli peralatan rumah seperti dapur, peti ais dan sebagainya.
“Ini adalah usaha-usaha berterusan kerajaan negeri untuk membantu rakyat negeri Pahang dan setakat ini Alhamdulillah, sambutannya sangat baik serta permintaannya sangat tinggi, sehingga kerajaan negeri terpaksa menilai satu persatu.
“Cuma saya berharap siapa yang mampu beli rumah PR1MA, belilah rumah ini dan jika tidak mampu, beli Rumah Makmur.
"Selebihnya, kerajaan negeri akan melihat sekiranya mereka ini perlu rumah, wakil rakyat akan mengesyorkan di kawasan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Angsanapuri Development Sdn Bhd, Dato' Indera Norzan Ahmad memberitahu, ia adalah projek Fasa 1 dan berdepan kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum berjaya disiapkan pada tahun lepas.
"Pembeli sudah boleh masuk ke rumah masing-masing pada bila-bila masa kerana segalanya telah siap diduduki.
"Untuk Fasa 2 membabitkan pembinaan 118 unit rumah PR1MA, kita sudah bermula dan memasuki tahap 20 peratus," katanya.
Apa Reaksi Anda?











