UMNO/BN Terus Prihatin, Bantu Rakyat Bukan Hanya Ketika Musim PRN
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed terus menunjukkan keprihatinan terhadap nasib rakyat teemasuk menziarahi penduduk di Kampung Pasir Putih yang kediamannya rosak teruk akibat dimakan anai-anai sehingga terpaksa dirobohkan.
Jeffery berkata, beliau terpanggil untuk menziarah bagi menghulurkan bantuan dan meringankan beban yang ditanggung selain memberi sokongan untuk mendepani cabaran kehidupan.
“Apabila melihat keadaan rumah beliau yang sudah tidak selamat didiami, saya berusaha membantu seadanya. Walaupun sumbangan ini kecil, harapan saya agar ia sedikit sebanyak memberi kelegaan dan semangat kepada beliau untuk terus tabah menghadapi ujian,” katanya kepada UMNO Online.
Jeffery berkata, semangat prihatin terhadap rakyat seperti ini adalah antara nilai yang sentiasa diperjuangkan oleh UMNO/ Barisan Nasional (BN) selaku parti yang berakar umbi di hati rakyat dan tidak pernah meninggalkan tanggungjawab walau dalam apa jua keadaan.
“Inilah perjuangan sebenar UMNO/BN, bukan sekadar bicara politik, tetapi kerja nyata di lapangan membantu rakyat. Kami mahu rakyat melihat dan merasai bahawa UMNO sentiasa ada bersama mereka,” ujarnya.
Dalam konteks menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Jeffery menegaskan bahawa tindakan turun padang dan mendekati rakyat ini bukan untuk meraih simpati, tetapi mencerminkan keikhlasan perjuangan UMNO yang konsisten memperjuangkan kesejahteraan rakyat sejak dahulu.
“PRN Sabah akan menjadi medan penting untuk rakyat menilai siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang hanya muncul ketika musim pilihan raya. BN dan UMNO sudah membuktikan kemampuan mentadbir dan membawa pembangunan. Kini tiba masanya rakyat mengembalikan kepercayaan itu,” tegasnya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera UMNO di peringkat akar umbi agar terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat, membantu mereka yang memerlukan dan menunjukkan bahawa perjuangan parti ini sentiasa berteraskan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak boleh hanya bercakap tentang perjuangan, kita mesti tunjuk dengan tindakan. Setiap bantuan kecil, setiap kunjungan dan setiap keprihatinan adalah bukti bahawa UMNO masih dan akan terus menjadi parti yang berkhidmat untuk rakyat.
“Ini jelas mencerminkan semangat perjuangan UMNO yang dekat dengan rakyat, berjiwa rakyat, dan bersedia untuk memimpin semula Sabah ke arah kestabilan dan kemajuan melalui mandat rakyat dalam PRN yang akan datang,” katanya lagi.
Apa Reaksi Anda?











