Usah risau lihat pesawat terbang rendah, bunyi letupan
Orang ramai terutamanya di sekitar daerah Rompin tidak perlu panik dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah serta terdengar bunyi letupan.
TUDM dalam kenyataannya memaklumkan situasi itu adalah latihan demonstrasi tempur melibatkan pesawat pejuang, helikopter dan Pasukan Khas TUDM (Paskau) yang akan dilaksanakan di Pantai Hiburan, Rompin bermula 22 hingga 25 Oktober ini.
Menurut kenyataan itu, demonstrasi tersebut sempena Upacara Pengurniaan Beret Biru PASKAU dan Majlis Penutup Kursus Komando TUDM pada 26 Oktober ini.
"Ia akan dipertontonkan kepada tetamu kenamaan, ahli keluarga anggota TUDM yang berjaya menamatkan latihan komando TUDM serta masyarakat setempat.
"Pada demonstrasi itu, TUDM akan mempamerkan keupayaan serta kesiagaan aset-aset, juruterbang dan anak kapal serta anggota PASKAU dalam melakukan serangan terhadap kawasan musuh serta menyelamatkan tebusan," katanya.
TUDM turut memaklumkan, orang awam yang hadir dan parkir kenderaan disekitar Pantai Hiburan pada tarikh tersebut diminta agar membuka sedikit cermin tingkap kenderaan.
"Langkah itu bagi tujuan keselamatan dan menggelakkan sebarang kejadian tidak diingini impak bunyi letupan semasa demonstrasi dilaksanakan," katanya.
Apa Reaksi Anda?











