Sunyi dalam rumah sendiri
Dalam kejaran hidup moden, ramai ibu bapa hari ini bekerja siang malam demi memastikan anak-anak tidak kekurangan.
Namun, di sebalik kesenangan material yang cuba dibina, ada sesuatu yang semakin rapuh iaitu hubungan emosi antara ibu bapa dan anak, khususnya dalam kalangan remaja hari ini.
Generasi ini membesar dalam dunia digital yang serba pantas. Mereka celik teknologi, lantang bersuara dan terbuka dalam pandangan hidup.
Namun di sebalik keterbukaan itu, ramai yang sunyi. Dalam riuh media sosial, dalam tawa video pendek dan emoji lucu, mungkin ada tersimpan hati yang haus kasih sayang, perhatian dan bimbingan sebenar daripada ibu bapa.
Tidak semua, tetapi dengan pelbagai isu yang membabitkan remaja hari ini, perkara itu harus kita akui.
Hakikatnya, ramai ibu bapa bukan tidak mahu hadir secara emosi. Mereka cuma terperangkap dalam tekanan ekonomi yang semakin menghimpit. Hidup hari ini menuntut dua sumber pendapatan. Ibu dan ayah keluar awal pagi, pulang lewat petang.
Anak-anak pula membesar di bawah jagaan pengasuh, datuk nenek atau lebih kerap di bawah jagaan skrin.
Hubungan antara ibu bapa dan anak kini lebih banyak berlaku melalui mesej WhatsApp dan panggilan video.
Ia memudahkan, tetapi tidak menggantikan sentuhan dan tatapan mata. Anak-anak remaja yang sedang mencari identiti sering berhadapan kekeliruan nilai: antara apa yang diajar di rumah, apa yang dilihat di media sosial dan apa yang dirasai di dunia sebenar.
Apabila ruang komunikasi semakin sempit, jurang emosi pun melebar. Anak-anak mula mencari ‘keluarga’ di luar rumah, sama ada di ruang maya, dalam kalangan rakan sebaya, malah kadang-kadang di tempat yang salah.
Ada di antara mereka yang menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan rasa hati. Ada pula yang menutup diri kerana tidak yakin akan difahami.
Di sinilah bermulanya krisis emosi yang sering kita dengar hari ini: kemurungan, kecelaruan identiti, dan hilangnya rasa arah hidup.
Namun tidak adil juga menuding jari hanya kepada ibu bapa kerana zaman berubah, cabaran berbeza.
Jika dahulu kasih sayang ditunjukkan melalui masa bersama, kini ia juga boleh hadir dalam bentuk usaha, pengorbanan dan niat yang tulus. Apa yang perlu ialah keseimbangan antara mencari rezeki dan membina jiwa anak-anak.
Mungkin kita tidak mampu berhenti bekerja, tetapi kita masih mampu berhenti seketika untuk mendengar.
Ambil masa 15 minit berbual dari hati ke hati ketika ambil anak dari sekolah atau sebelum tidur, boleh memberi makna yang besar.
Sekeping nota kecil dalam beg sekolah, mesej pendek bertanya khabar kadangkala itu lebih berharga daripada hadiah yang mahal.
Kita sebagai ibu bapa perlu belajar menyesuaikan diri dengan dunia remaja tanpa kehilangan nilai keluarga.
Mereka tidak hanya memerlukan arahan, tetapi ruang untuk didengar. Dalam dunia yang menekan mereka dengan pelbagai perbandingan, anak-anak perlukan tempat selamat untuk berasa diterima seadanya. Tempat itu sepatutnya di rumah sendiri.
Mereka ialah cerminan masa depan negara. Jika jiwa mereka terdidik dengan kasih sayang dan empati, mereka akan menjadi warga yang lebih seimbang. Bukan sekadar cemerlang dalam akademik, tetapi juga matang dalam emosi dan nilai kemanusiaan.
Sudah tiba masanya kita bertanya semula kepada diri sendiri: adakah kita sedang bekerja untuk anak-anak, atau sedang kehilangan mereka dalam keasyikan bekerja?
Sebagai masyarakat pula, kita perlu bersama-sama membina ekosistem sokongan meliputi sekolah, komuniti dan tempat kerja yang memahami pentingnya kesejahteraan emosi keluarga.
Sebab pada akhirnya, anak-anak tidak hanya ingat berapa banyak yang kita berikan, tetapi bagaimana kita membuat mereka berasa disayangi.
Apa Reaksi Anda?











