Tegakkan Ketelusan, SPRM Perlu Jelas Isu Video Didakwa Pemimpin PBS

Oleh : BARD
Oktober 23, 2025 - 10:00 MYT
Tegakkan Ketelusan, SPRM Perlu Jelas Isu Video Didakwa Pemimpin PBS

Ketua Penerangan BN Communication (BNCOM) Libaran, Shariff Ismarhafiz Sh Abd Rahman mempertikai sikap berdiam diri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu video yang didakwa melibatkan dua pemimpin tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Jahid Jahim.

Beliau berkata, rakyat Sabah menantikan penjelasan rasmi SPRM sama ada siasatan telah dimulakan atau tidak, namun hingga kini tiada sebarang maklum balas diberikan.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persepsi bahawa isu rasuah dalam politik negeri ini sudah menjadi terlalu sistematik sehingga tidak lagi mengejutkan pihak berkuasa.

“Ketelusan dan akauntabiliti mesti ditegakkan tanpa mengira pangkat, parti atau kedudukan dalam kerajaan. Undang-undang tidak boleh dijadikan alat politik yang hanya bertindak apabila melibatkan pihak lawan, tetapi membisu apabila ia membabitkan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” tegas beliau.

Shariff berkata, sikap berdiam diri SPRM hanya menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti institusi itu sebagai badan bebas.

“Keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan, tetapi juga mesti dilihat ditegakkan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa SPRM tampil segera memberi penjelasan terbuka mengenai status siasatan kes tersebut bagi mengelak persepsi wujudnya “lapisan pelindung politik” terhadap individu tertentu.

“Jika benar tiada salah laku, biarlah siasatan membuktikan demikian. Tetapi diam tanpa tindakan hanya menimbulkan persoalan dan keraguan,” katanya.

Menurutnya, rakyat Sabah kini semakin matang dan menuntut tindakan tegas, bukan sekadar slogan integriti tanpa hasil.

“SPRM perlu memperkukuh semula kredibilitinya dengan bertindak adil, berani dan bebas daripada tekanan politik mana-mana pihak,” tambahnya.

Beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian bukan sahaja menjejaskan reputasi SPRM, tetapi turut menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan demokrasi negara. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow