Global Sumud Flotilla: Dua hari lagi dijangka tiba di Gaza

Oleh : BARD
September 30, 2025 - 11:00 MYT
Global Sumud Flotilla: Dua hari lagi dijangka tiba di Gaza

Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini semakin menghampiri garisan paling mencabar apabila dijangka melepasi zon merah dalam tempoh dua hari lagi.

Berdasarkan tinjauan 'Sumud Nusantara Flotilla Tracker' dibangunkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), flotilla berkenaan berada pada kedudukan kira-kira 252.8 batu nautika daripada destinasi dengan purata kelajuan 4.3 knot.

Ia dijangka mengambil masa sekitar dua hari 10 jam sebelum memasuki perairan Gaza.

Setakat jam 8.30 pagi, 45 kapal yang menyertai konvoi tersebut sedang berlayar di zon kuning.

Kapal Yulara berada paling depan dalam konvoi berkenaan, diikuti Shireen, Wahoo dan kapal-kapal lain.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal misi dijangka memasuki zon merah dan menghampiri Gaza pada Khamis ini.

Menurutnya, flotilla berada kira-kira 366 batu nautika dari pesisir Gaza dan dijangka memasuki zon kuning pada 9.18 malam waktu Malaysia.

Sani memaklumkan, SNCC menjangkakan misi bakal berdepan dengan sedikit kelewatan dan mula masuk zon merah Gaza pada Khamis.

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow