JDT kekal status pasukan termahal di Malaysia

Gergasi gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan status sebagai pasukan paling bernilai tinggi di Malaysia apabila nilai semasa skuad Harimau Selatan itu kini mencecah €14.08 juta (RM71.8 juta), menurut data terkini daripada laman analisis pasaran pemain, Transfermarkt.
Nilai tinggi pasukan itu didorong kemasukan tiga pemain warisan serta beberapa pemain import berkualiti yang menyaksikan skuad kendalian Xisco Munoz itu kini memiliki seramai 39 pemain.
Pemain paling bernilai dalam skuad semasa JDT ialah penyerang warisan baharu Harimau Malaya, Joao Figueiredo yang dinilai pada harga €2 juta (RM9.96 juta), selepas sah menyertai JDT.
Penyerang Brazil, Jairo Da Silva pula berada di kedudukan kedua dengan nilai pasaran €900,000 (RM4.4 juta).
Seorang lagi pemain warisan, Jon Irazabal bernilai €600,000 (RM3 juta) manakala Hector Hevel yang berhijrah dari kelab Portugal, Portimonense pula dianggarkan bernilai €400,000 (RM2 juta).
Sementara itu, pemain tempatan paling bernilai dalam JDT kekal milik tonggak sensasi JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi yang juga memegang status sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK), dengan nilai pasaran mencecah €650,000 (RM3.2 juta).
Setakat ini, Harimau Selatan telah membawa masuk lapan pemain baharu bagi musim 2025/2026 iaitu Irazabal, Hevel, Figueiredo, Jairo, Antonio Glauder, Ibrahim Manusi, Moussa Sidibe dan Jonathan Silva.
Secara keseluruhan, nilai lapan pemain yang telah dibawa masuk oleh JDT itu sekitar RM28 juta.
Langkah agresif membawa masuk pemain warisan dan import berkualiti ini adalah sebahagian daripada persiapan serius JDT untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) serta Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) musim depan selain saingan domestik Liga Malaysia.
Selain penambahan pemain baharu, JDT turut melepaskan 11 pemain selepas tamat musim lalu termasuk Jese Rodriguez, Alvaro Gonzalez, Jordi Amat, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Roque Mesa dan Anselmo de Moraes, manakala empat pemain tempatan iaitu Safiq Rahim, Farizal Marlias, Izham Tarmizi dan Ramadhan Saifullah turut tidak disambung kontrak.
Namun, nilai pasaran semasa JDT sebenarnya sedikit menurun berbanding musim lalu yang mencatatkan angka lebih tinggi iaitu sekitar €17.2 juta (RM85.62 juta), ketika kelab itu membawa masuk beberapa pemain baharu ketika saingan kumpulan ACLE.
Bagaimanapun, nilai semasa JDT dijangka bakal terus meningkat jika pengurusan kelab terus aktif membawa masuk pemain bertaraf tinggi seiring sasaran besar kelab itu untuk layak ke Piala Dunia Kelab pada masa akan datang.
Musim depan bakal menjadi antara musim paling mencabar buat JDT apabila mereka dijadual beraksi dalam tiga kejohanan utama iaitu Liga Malaysia, ACC dan ACLE.
Apa Reaksi Anda?






