PN Ulang Gaya Lama: Janji Dulu, Berdalih Kemudian
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sedang mengulangi taktik lama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, iaitu membuat pelbagai janji berbentuk “ringgit dan sen” tanpa asas kewangan yang kukuh.
Menurut beliau, kaedah ini sama seperti pendekatan yang digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika era pentadbiran PH 1.0, yang kononnya mahu menghapuskan tol, memansuhkan pinjaman PTPTN dan menurunkan harga barang, namun gagal ditunaikan apabila berkuasa.
“Nampaknya PN mengulangi cara lama berkempen. Janji dahulu dan cari dalih kemudian apabila tidak mampu menunaikannya jika diberi kuasa kelak,” katanya.
Tambah Dr Puad, kegagalan menunaikan janji-janji populis tanpa penjelasan dasar fiskal yang jelas membuktikan ia hanyalah “gula-gula politik” yang direka untuk mengaburi mata rakyat.
“Gula-gula tanpa penjelasan dasar fiskal yang jelas bagi menunaikan janji tersebut membuktikan ia adalah janji direka dan cubaan menipu rakyat sekali lagi,” ujarnya.
Beliau berharap rakyat kini lebih matang menilai dan tidak lagi terpedaya dengan janji manis yang tidak berpijak di bumi nyata.
“Semoga rakyat serik dengan kaedah kempen lapuk tersebut. Ada baiknya rakyat membuat perbandingan apa yang telah dilakukan semasa mereka berkuasa dahulu,” katanya lagi.
Dr Puad menegaskan, semua parti sama ada Barisan Nasional (BN), PH 1.0 mahupun PN telah berpeluang mentadbir, justeru rakyat wajar menilai dasar dan polisi yang benar-benar realistik serta efektif, bukan sekadar retorik pilihan raya.
Apa Reaksi Anda?











