Berbeza Politik Jangan Sampai Putus Silaturrahim

Oleh : BARD
Oktober 29, 2025 - 11:00 MYT
Berbeza Politik Jangan Sampai Putus Silaturrahim

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan bahawa perbezaan ideologi politik tidak seharusnya memutuskan silaturrahim yang dibina atas aqidah Islam.

Ujarnya, UMNO tidak melarang mana-mana ahli parti untuk berhubung dengan sesiapa termasuk rakan rentas parti kerana politik hanyalah wadah untuk memperjuangkan agenda berdasarkan prinsip.

“UMNO tidak melarang mana-mana ahli untuk berhubung dengan sesiapa termasuk mereka yang dijatuhkan hukuman disiplin mahupun berbeza parti. Berbeza ideologi politik jangan sampai putus hubungan silaturrahim.

“Parti hanyalah wadah dan alat untuk kita memperjuangkan agenda berasaskan prinsip, ideologi serta pendekatan yang diyakini masing-masing.

“Tiada siapa boleh menghukum bahawa pendirian dan ideologinya itu tepat serta betul sepenuhnya. Dalam istilah agama disebut ijtihadi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tiada sebarang masalah sekiranya ukhuwah dan silaturrahim dipelihara meskipun berlainan ideologi.

“Sedangkan persaudaraan Islam itu dibina atas dasar akidah yang disebut ukhuwah dan silaturrahim yang sifatnya wajib untuk dipertahankan dan tidak sesekali diputuskan.

“Sebab itulah berbeza parti dan wadah politik sekalipun jangan sampai kita memutuskan tali persaudaraan yang diikat atas dasar Islam. Tiada masalah berlainan ideologi yang penting pelihara ukhuwah dan silaturrahim,” katanya lagi. 

Sumber

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow