Inisiatif Makmur Martabatkan Masjid, Kukuhkan Peranan Umat

Di Pahang, UMNO mengambil pendekatan berbeza dalam menguruskan soal agama dan institusi masjid. Berbanding parti lain yang sering menjadikan masjid sebagai pentas politik, UMNO mengekalkan pendirian bahawa rumah Allah perlu dihormati dan tidak dijadikan gelanggang mencari pengaruh. Masjid adalah tempat umat Islam mendekatkan diri kepada Allah, bukan medan menabur fitnah atau menyemai kebencian sesama bangsa.
Sejak sekian lama, UMNO Pahang memastikan perjalanan institusi masjid dipandu oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta jabatan agama negeri. Tugasnya jelas mengimarahkan rumah Allah dengan kuliah ilmu, program kebajikan, serta usaha mendidik masyarakat. Tidak pernah ada arahan atau budaya memaksa khatib berkhutbah dengan agenda politik kepartian. Apa yang disampaikan hanyalah berkisar soal iman, akhlak, dan kesejahteraan ummah.
Inilah yang membezakan UMNO Pahang dengan parti yang gemar memperalatkan masjid demi survival politik mereka. PAS, misalnya, menjadikan mimbar Jumaat sebagai tempat menyindir lawan, menghentam kerajaan, dan menyemai doktrin kepartian. Masjid yang sepatutnya menjadi ruang penyatuan umat akhirnya bertukar menjadi markas politik yang memecahbelahkan masyarakat.
Baru-baru ini, tular mesej di Facebook Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aire Roslan, yang kononnya YB Dato' Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang memperalatkan masjid bagi menyampaikan bantuan kepada pengerusi-pengerusi masjid di Jengka. Hakikatnya, bantuan yang diberikan itu adalah peruntukan rasmi yang telah diluluskan dalam Bajet Negeri Pahang 2025 oleh YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.
Sebanyak RM7.8 juta diperuntukan untuk Inisiatif Makmur (IM) Pahang, Kluster Masjid , setiap masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat menerima peruntukan RM10,000 one-off. Sebagai Exco Agama, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim sekadar melaksanakan tanggungjawab menyampaikan apa yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri. Bantuan ini jelas bukti kecekapan pentadbiran YAB Menteri Besar Pahang sejak 2018.
Malangnya, Aire Roslan memilih untuk memutar-belit fakta. Beliau menularkan tangkap layar seolah-olah ditulis sendiri dan dimuat naik sendiri, sambil mengaitkan kononnya ahli-ahli UMNO tidak bersetuju dengan pemberian bantuan kepada masjid. Tindakan ini jelas tidak bertanggungjawab dan hanya menimbulkan persepsi negatif yang tidak berasas.
Persoalannya, apakah selama ini umat Islam bersetuju dengan cara PAS menggunakan masjid sebagai platform kebencian dan medan politik? Ramai penceramah PAS tanpa segan silu menjadikan kuliah agama sebagai saluran menyemai kebencian terhadap kerajaan negeri. Adakah itu yang dikehendaki umat Islam? Tepuk dada, tanya selera.
UMNO Pahang sedar bahawa menghormati kesucian masjid bukan sekadar menjaga nama baik parti, tetapi menjaga maruah agama. Kalau benar mahu berdakwah, salurannya luas forum, seminar, media sosial, ceramah terbuka, malah pentas politik rasmi. Tetapi jangan sesekali menjadikan masjid sebagai bahan dagangan untuk meraih undi.
Rakyat Pahang perlu melihat dengan jernih. UMNO telah membuktikan bahawa kepentingan parti boleh dipisahkan daripada kesucian institusi agama. Masjid di Pahang kekal berfungsi sebagai pusat ibadah, ilmu dan perpaduan. Dengan pendekatan ini, negeri terus aman, masyarakat tidak berpecah kerana politik sempit, dan masjid tidak tercemar dengan agenda kepartian.
Kerana itu, ketika ada pihak cuba mengheret masjid ke dalam kancah politik, UMNO Pahang tegas menolak. Prinsipnya mudah masjid adalah tempat penyatuan umat, bukan milik parti.
Apa Reaksi Anda?






