PAU 2025 Jadi Platform Kukuhkan Kesatuan UMNO – Wan Rosdy
Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) medan terbaik untuk memperkukuh kesepaduan dan kesatuan parti, selain mematangkan perbahasan secara berhemah serta memperjelas hala tuju perjuangan UMNO demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PAU 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 14 hingga 17 Januari 2025 menghimpunkan seluruh perwakilan serta keluarga besar UMNO dari seluruh negara.
Menurut beliau, perhimpunan kali ini dimulakan dengan Pra-PAU 2025 pada Selasa, 13 Januari 2026 yang diisi dengan pelbagai wacana dan pengisian bermakna, termasuk Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia, Majlis Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO (SPU) serta Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu.
“Pengisian ini mencerminkan komitmen UMNO dalam pembangunan ilmu, pemerkasaan nilai serta pengukuhan jati diri bangsa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa agenda diteruskan pada Rabu, 14 Januari 2026 dengan penganjuran Simposium Politik Era Digital 2026 anjuran Penerangan UMNO Malaysia, sebelum disusuli Taklimat Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup.
PAU 2025 kemudiannya akan membuka tirai secara rasmi pada sebelah malam menerusi Majlis Perasmian Serentak Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO yang akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO.
“Insya-Allah, PAU 2025 akan menjadi platform terbaik untuk memperkukuh kesatuan parti dan memperjelas hala tuju perjuangan UMNO ke arah masa depan yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.
Apa Reaksi Anda?











