UMNO Perlu Kembali Memimpin Obor Pendidikan Bangsa
UMNO tidak pernah ditakdirkan untuk tunduk kepada nasib, sebaliknya berperanan mengubah perjalanan bangsa, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa UMNO, dengan keberanian dan iltizam, menyatukan sistem serta menyepadukan program pendidikan secara lebih tersusun, bukan sekadar demi satu generasi, tetapi untuk membina masa depan yang bermaruah.
“Sebagai parti Melayu terbesar dan tunjang pembinaan negara, UMNO mesti kembali memimpin obor pendidikan bangsa. Bukan sekadar mempertahankan legasi, tetapi menyalakan cahaya baharu agar orang Melayu bangkit sebagai bangsa berilmu, berakar kukuh pada nilai, serta melangkah yakin ke hadapan dalam membina Malaysia demi anak cucu kita.”
Beliau berkata, apabila berbicara mengenai pendidikan Melayu, hakikatnya UMNO sedang menulis takdir bangsa itu pada lembaran masa depan.
“Jika kita gagal memperkukuh mobiliti sosial, anak-anak Melayu akan terus terikat sebagai pekerja sepanjang hayat,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu yang diadakan bersempena menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO 2025, malam tadi.
Turut hadir ialah Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, serta khalayak terlibat.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut menyuarakan harapan agar Sekolah Kebangsaan dapat terus diperkasakan sebagai teras pembinaan negara bangsa serta tapak awal pembentukan kekuatan orang Melayu.
Sekolah Kebangsaan merupakan tempat majoriti anak Melayu memulakan langkah pendidikan mereka. Di sinilah asas ilmu, disiplin, keyakinan diri dan cita-cita dibentuk. Jika asas ini lemah, maka perjalanan pendidikan anak Melayu seterusnya juga akan pincang.
“Justeru, Sekolah Kebangsaan mesti diperkasakan bukan sekadar dari segi kemudahan fizikal, tetapi turut merangkumi mutu pengajaran, budaya kecemerlangan serta imejnya sebagai institusi pendidikan berkualiti.”
Beliau turut menegaskan kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu masa depan.
“Bahasa Melayu mesti berkembang sebagai bahasa sains, teknologi dan pemikiran tinggi. Ini memerlukan pelaburan berterusan dalam penghasilan bahan ilmiah, pembangunan kandungan digital serta latihan guru yang berkualiti,” katanya.
Tambah beliau, penubuhan atau pemerkasaan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Melayu di universiti-universiti terkemuka perlu dilaksanakan sebagai hab penyelidikan istilah, penciptaan kandungan digital serta latihan guru pakar.
Mengulas lanjut, Pengerusi Barisan Nasional itu berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi Tahfiz wajar dijadikan laluan elit baharu bagi orang Melayu.
“TVET mesti dilihat sebagai laluan berstatus tinggi dengan struktur gaji dan perkembangan kerjaya yang setara dengan aliran akademik. Laluan daripada sijil ke diploma dan seterusnya ke tahap profesional juga perlu jelas dan tersusun,” ujarnya.
Menurut beliau, kurikulum TVET dan Tahfiz perlu dirangka berasaskan Pendidikan Berasaskan Projek (PBL) yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah sebenar industri, disepadukan dengan modul nilai bagi membina integriti dan jati diri. Kaedah pengajaran pula harus bersifat aktif, termasuk penggunaan simulasi dan pembelajaran berasaskan kerja.
Beliau menegaskan bahawa gabungan kemahiran teknikal, pendidikan Tahfiz serta jaringan industri berpotensi melahirkan tenaga kerja Melayu yang berakhlak, berkemahiran tinggi dan bernilai kepada ekonomi negara.
Apa Reaksi Anda?











