Kedah Guna Dana MARRIS Untuk Tutup Lubang Kewangan?

Oleh : BARD
November 25, 2025 - 16:22 MYT
Kedah Guna Dana MARRIS Untuk Tutup Lubang Kewangan?

Hingar-bingar mengenai dana MARRIS di Kedah muncul semula apabila permohonan kerajaan negeri untuk memindahkan sebahagian besar baki dana itu ke Kumpulan Wang Pembangunan (KWP) dibangkitkan. Perkara ini bukan datang daripada khabar angin, bukan cerita kedai kopi, tetapi termaktub dalam Penyata Kewangan Kerajaan Negeri sendiri. Namun apabila dokumen rasmi disentuh, tiba-tiba ramai penyokong Pas naik angin seolah-olah dosa besar telah dilakukan.

Yang menggelikan hati, kemarahan itu bukan disebabkan salah fakta. Hakikatnya, tiada sesiapa pun menuduh dana MARRIS diseleweng. Tidak ada satu nama pun dituding. Yang disentuh hanyalah apa yang tercatat hitam putih bahawa Kedah memohon memindahkan RM303.9 juta dana MARRIS pada Disember 2024 dan MOF meluluskan permohonan tersebut pada Februari 2025 dengan syarat-syarat tertentu. Tetapi apabila fakta itu tidak selari dengan naratif yang cuba dipertahankan, penyokong Pas mula melenting tanpa hala tuju.

Di sinilah segala punca kemarahan mereka terbongkar. Penyata Kewangan 2024 menunjukkan Kumpulan Wang Pembangunan Kedah sedang berada dalam keadaan negatif RM1.166 bilion. Angka itu sendiri sudah cukup untuk menjelaskan kenapa kerajaan negeri begitu terdesak memohon pemindahan dana. Dengan baki KWP sebesar itu, ruang untuk membangunkan negeri hampir lumpuh. Bahkan akaun mengurus negeri juga tidak dapat berdiri sendiri tanpa geran tambahan daripada Kerajaan Persekutuan. Itulah realitinya.

Lebih menarik, permohonan memindahkan dana MARRIS ini bukan kali pertama. Pada 2023, Kedah pernah cuba memindahkan lebih RM1.1 bilion dana sama ke dalam KWP. EXCO memperakukan cadangan tersebut, tetapi Pejabat Undang-Undang Negeri sendiri mengingatkan bahawa langkah itu bertentangan dengan undang-undang. Pejabat Pengarah Belanjawan Negara (NBO) di bawah MOF kemudian menegaskan perkara sama: dana MARRIS ialah duit penyelenggaraan jalan negeri, bukan dana untuk menampal defisit pembangunan.

Namun apabila kewangan negeri bertambah tenat, cubaan itu diulang pada 2024 dan kali ini MOF meluluskan atas budi bicara. Tanpa kelulusan itu, pembangunan Kedah mungkin tersekat terus. Ironinya, kerajaan pusat yang dilabel siang malam sebagai zalim itulah yang bersusah payah membantu memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar. Tetapi seperti biasa, bantuan mudah dilupakan, manakala kemarahan dan kecurigaan terus menjadi makanan harian.

Sikap penyokong Pas yang melompat tanpa membaca dokumen sebenar bukan perkara baharu. Mereka lebih selesa menjerit “fitnah” daripada berhadapan dengan angka dalam laporan kewangan negeri sendiri. Lebih menghiburkan apabila tokoh yang sering mendabik dada kononnya pakar membaca penyata kewangan tiba-tiba menghilang apabila maklumat sebenar diketengahkan. Jika sebelum itu begitu ligat bersyarah, kini diam membisu seperti langsung tidak wujud.

Akhirnya, cerita dana MARRIS ini bukan soal siapa betul atau siapa jahat. Ia soal keberanian mengakui kegagalan sendiri. Kewangan Kedah berada dalam keadaan rapuh, defisit pembangunan menjulang, dan pentadbiran negeri tidak mampu bergerak tanpa bantuan luar. Itulah intinya. Bila fakta itu dipamerkan, yang terasa ialah mereka yang sedar hakikatnya tetapi enggan mengaku.

Realiti tidak berubah walaupun ramai cuba memalingkan pandangan. Selagi masalah pengurusan kewangan tidak diperbaiki, selagi itulah Kedah akan terus mencari jalan singkat memindahkan dana sana sini demi menampung kekurangan. Dan selagi ada yang memilih untuk menyerang orang yang membaca laporan rasmi berbanding memperbaiki kedudukan negeri, selagi itulah percanggahan antara retorik dan realiti akan semakin ketara.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

Apa Reaksi Anda?

like
dislike
love
funny
angry
sad
wow